Guan Eng lepas tangan

Guan Eng lepas tangan


POLIS terpaksa campur tangan menenangkan beberapa orang penduduk Kampung Buah Pala, Gelugor yang menghalang penghantar saman daripada pihak pemaju ke rumah mereka, semalam.


SEJAK mengambil alih pemerintahan negeri daripada Barisan Nasional (BN), Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sering mengaitkan pelbagai masalah yang wujud di negeri ini sebagai berpunca daripada pentadbiran kerajaan negeri terdahulu.

Ketua Menteri sebelum ini, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon sering menjadi sasaran Guan Eng sehinggalah membawa kepada kedua-duanya berdebat dan disiarkan secara langsung melalui media elektronik sedikit masa lalu.

Pada pandangan penulis, Tsu Koon telah menjawab semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dengan baik dan disertakan pula fakta-fakta dalam menangkis isu-isu yang dibangkitkan oleh Guan Eng.

Pun begitu, Setiausaha Agung DAP tersebut tidak juga serik untuk terus mempertikaikan tindakan-tindakan kerajaan negeri terdahulu.

Terbaru, Guan Eng bulat-bulat mempersalahkan Gerakan, UMNO, MCA dan MIC melibatkan isu Kampung Buah Pala di Gelugor. Guan Eng mendakwa kononnya masalah tidak akan timbul sekiranya tanah berkenaan tidak dijual.

Kerajaan negeri sebelum ini pastinya mempunyai justifikasinya sendiri dalam meluluskan penjualan tersebut.

Kes berkenaan telah dibawa ke mahkamah dan keputusan mahkamah memihak kepada pemaju yang dilantik oleh pemilik tanah kampung berkenaan, Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang.

Guan Eng sendiri mengakui ramai penduduk di kampung berkenaan menerima pampasan hingga RM200,000 dan sudah berpindah ke tempat lain.

Masalah sekarang ialah dengan baki penduduk yang dianggarkan sekitar 200 orang dan mereka ini enggan berpindah.

Rakyat (dalam kes ini penduduk Kampung Buah Pala) sudah bosan dan tidak mahu mendengar alasan sebaliknya mahu kerajaan negeri sekarang mengambil tindakan konkrit membela nasib mereka.

Menyalahkan kerajaan negeri sebelum ini kini ditafsir oleh rakyat sebagai pendekatan lepas tangan atau jalan keluar yang mudah apabila berdepan dengan sesuatu masalah.

Rakyat mahu kerajaan negeri bertindak aktif membela nasib mereka dan membawa pembangunan, bukan perubahan kosmetik seperti nama jalan dalam pelbagai bahasa yang menjadi kebanggaan kerajaan negeri pakatan pembangkang ketika ini walaupun dipertikaikan oleh pelbagai pihak.

Penduduk Kampung Buah Pala amat berharap rumah mereka tidak dirobohkan. Mereka mahu bertemu Guan Eng namun tidak dilayan. Oleh itu, saban hari mereka melakukan demonstrasi dengan disertai oleh anggota kumpulan haram, Hindraf dan mengemukakan pelbagai tuntutan.

Mereka menagih kerajaan pakatan pembangkang mengotakan janji-janji yang telah dibuat ketika mahu meraih undi rakyat semasa pilihan raya umum lepas.

Inilah yang berlaku apabila dalam kempen pilihan raya -- DAP, PKR dan Pas menabur janji kosong tanpa menimbangkan keupayaan untuk melaksanakannya.

Apabila calon pakatan pembangkang berjanji akan memberi perhatian kepada masalah di sesuatu tempat, rakyat terus membuat tafsiran masalah mereka akan selesai dengan memilih calon berkenaan.

Apabila masalah tidak dapat diatasi walau atas alasan apa sekalipun, mereka mula memberontak kerana kecewa. Mereka mendakwa kerajaan negeri boleh menghalang kerja-kerja meroboh kediaman itu sekiranya ia mahu.

Mereka menolak sama sekali hujah panjang lebar Guan Eng bahawa kerajaan negeri tidak berupaya berbuat demikian kerana pemaju bertindak mengikut undang-undang setelah memenangi kes di mahkamah.

Kini kerajaan pakatan pembangkang yang telah menjanjikan rakyat akan dibela di bawah pemerintahannya perlu berusaha gigih untuk memulihkan imejnya. Anggota kumpulan Hindraf telah beralih arah.

Ketika berhimpun di Komtar baru-baru ini, mereka memegang sepanduk antara lain tertulis, "What is CAT?" "Jangan cabul maruah kaum India," "Guan Eng 'walk your talk'," "What is DAP's real agenda," "Tukar ADUN Seri Delima" dan "Jom ubah Guan Eng cakap kosong."

Mereka turut memegang kain rentang tertulis "Kami berharap Ketua Menteri dan kerajaan pakatan rakyat membela perkampungan High Chappral seperti dijanjikan."

Dalam pada itu, Gerakan menyifatkan tindakan Guan Eng berhubung kontroversi yang berlaku di Kampung Buah Pala itu hanya bermotifkan propaganda politik.

Ketua Pemuda Gerakan negeri, Oh Tong Keong berkata, Guan Eng juga dilihat hanya berminat mengkritik kerajaan terdahulu yang diterajui oleh BN dan juga pihak lain termasuk Hindraf, daripada mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap masalah yang berlaku di kampung tersebut.

Menurut beliau, sebagai seorang Ketua Menteri, Guan Eng bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang berlaku kerana itu adalah tugas dan kerjanya selepas dipilih rakyat pada pilihan raya lalu.

''Beliau suka mengambil 'pengiktirafan' yang diberi bila rancangan yang dibuat kerajaan dahulu membuahkan hasil tetapi bila berdepan dengan masalah, beliau cepat-cepat pula menyalahkan BN.

''Prinsip pentadbiran laungan kerajaan negeri iaitu cekap, akauntabiliti dan telus atau CAT (competency, accountability and transparency) juga saya rasa perlu diubah kepada merungut, menuduh dan putar-belit (complaining, accusing and twisting) sesuai dengan cara beliau menghadapi situasi yang berlaku di Kampung Buah Pala itu," katanya.

Menurut Tong Keong, semasa pilihan raya umum lalu, pakatan pembangkang menggunakan isu Kampung Buah Pala sebagai modal kempen dengan menjanjikan penduduk bahawa hak mereka akan dikembalikan jika mereka memerintah Pulau Pinang.

''Inilah masanya dia patut menunaikan apa yang telah dijanjikannya dan bukannya hanya pandai mengaburi mata rakyat apabila menghadapi masalah," katanya.

PENULIS ialah Ketua Biro Utusan Malaysia, Pulau Pinang

0 comments: