Rombakan dasar pelaburan bukti kesungguhan maju ekonomi

Rombakan dasar pelaburan bukti kesungguhan maju ekonomi

Oleh Mutazar Abd Ghani dan Kamarulzaidi Kamis
bhbiz@bharian.com.my

Pendekatan serampang tiga mata bagi keadilan semua kaum, tarik kemasukan pelaburan modal asing

BEBERAPA pendekatan baru yang diumumkan kerajaan Selasa lalu dalam usaha meningkatkan daya saing Malaysia khususnya yang membabitkan kelonggaran terhadap Garis Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC), perlu diamati secara mendalam kerana jika dilihat sekali pandang banyak merugikan Bumiputera.

Ini terutama syarat 30 peratus ekuiti yang ditetapkan untuk Bumiputera dalam tawaran awal permulaan (IPO) bagi saham syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia apabila kerajaan menghapuskan garis panduan FIC yang membabitkan pembelian kepentingan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan, selain urus niaga hartanah.

Namun, jika diteliti dan bersandarkan `pencapaian' tidak seberapa sepanjang 35 tahun pelaksanaan garis panduan lama FIC khususnya dari segi pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, pendekatan baru itu sesuatu yang perlu dilakukan bagi memperbaiki serta menambahbaik pencapaian sedia ada. Sejak 1990 hingga 2006 pemilikan ekuiti Bumiputera tidak berubah, dengan masing-masing pada kadar 19.3 peratus dan 19.4 peratus.

Perkara itu diakui sendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang menyatakan sasaran pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam syarikat korporat dapat diperbaiki pada era 1970-an dan 1980-an, namun mulai 1990 hingga kini seolah-olah tersekat pada paras 19.4 peratus.

Katanya, ketika itu tidak menjadi masalah untuk memenuhi kuota 30 peratus Bumiputera bagi saham IPO kerana pada masa itu harga penyenaraian ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan tahap yang rendah.

"Ini membolehkan sesiapa saja yang dapat saham itu (IPO) mendapat untung besar dan pihak bank pula dengan senang hati memberi pembiayaan margin saham jangka pendek bagi membolehkan Bumiputera membeli saham yang diperuntukkan di bawah FIC.

"Bagaimanapun, apa yang amat menyedihkan ialah menurut satu kajian yang dijalankan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dari 1984 hingga 2005, jumlah saham yang diagihkan melalui mekanisma itu yang berjumlah RM54 bilion kini tinggal hanya RM2 bilion, manakala RM52 bilion dijual dalam masa singkat bagi mendapatkan keuntungan segera," katanya.

Masalah yang dikenal pasti menggagalkan sasaran berkenaan adalah pertama, kebanyakan Bumiputera yang membeli saham itu berhasrat mendapat keuntungan segera daripada kenaikan harga selepas penyenaraian dan kedua, sebahagian daripada mereka membeli saham menggunakan dana pinjaman jangka pendek bank atau dana individu lain, menyebabkan kuasa atau tempoh memegang saham itu singkat.

Nor Mohamed menjelaskan, perubahan ekonomi dan pasaran global yang berlaku mulai akhir era 1990-an menyebabkan beberapa peraturan sekuriti tempatan diubah untuk selaras dengan pasaran antarabangsa yang mana menyaksikan harga tawarannya ditetapkan mengikut harga pasaran.

Selain itu, katanya, keadaan turun naik pasaran dan ekonomi global menyebabkan kebanyakan saham baru disenaraikan adalah di bawah harga tawaran dan perkara itu juga menyebabkan pihak bank enggan memberi pembiayaan margin kerana dianggap berisiko tinggi.

Beliau berkata, pada masa ini syarikat yang berhasrat disenaraikan di Bursa Malaysia berdepan kesukaran memenuhi kuota 30 peratus Bumiputera dan kebanyakan IPO yang dikeluarkan sejak 2007 menyaksikan harga pasarannya susut lebih rendah daripada harga tawaran IPO selepas beberapa bulan disenaraikan.

"Pada masa sama, turut menjadi perhatian ialah walaupun Bumiputera membeli 30 peratus saham dalam sesebuah syarikat, namun syarikat itu tetap dikawal oleh orang lain. Disebabkan menjadi pemegang saham minoriti, golongan Bumiputera berdepan kesukaran untuk dilantik menganggotai lembaga pengarah, memegang jawatan penting dan strategik dalam syarikat dan membuat keputusan perniagaan yang memberi manfaat membangunkan Bumiputera.

"Jadi, apa gunanya syarat pegangan 30 peratus itu sekiranya Bumiputera hanya menjadi 'sleeping partner'. Jelas pada peringkat mikro, syarat sebegitu dilihat tidak lagi berkesan, selain memberi tanggapan buruk di kalangan pelabur.

"Susulan itu, elemen yang terkandung dalam garis panduan lama FIC kini didapati sudah tidak berkesan dan relevan serta menjadi penghalang kepada pelabur untuk menyenaraikan syarikat di negara ini," katanya.

Pun begitu, pendekatan baru yang diumumkan kerajaan itu tidak terus mengabaikan soal pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat senaraian awam apabila mereka perlu menawarkan 50 peratus daripada jumlah 25 peratus saham tebaran awam kepada pelabur Bumiputera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menjelaskan urus niaga hartanah hanya perlu mendapat kelulusan FIC jika ia membabitkan pengurangan kepentingan Bumiputera atau kerajaan bagi hartanah yang bernilai lebih RM20 juta.

Dalam usaha meningkatkan kepentingan Bumiputera secara lebih berkesan, antara pendekatan baru yang dirancang adalah penubuhan dana ekuiti swasta baru, Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) dengan modal permulaan RM500 juta.

Institusi itu bakal menjadi instrumen baru untuk meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera, justeru memastikan penyertaannya yang bermakna dan berkesan. Ia adalah dana ekuiti swasta yang akan menumpukan pelaburan di dalam sektor berpotensi mengalami pertumbuhan tinggi � pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perubatan, minyak dan gas serta bioteknologi selaras dengan perubahan ekonomi global.

Dana Ekuinas akan melabur secara bersama dengan dana swasta lain dalam syarikat Bumiputera yang berpotensi bagi menggalakkan perkongsian tulen dan pendekatan komersial sepenuhnya.

Susulan itu, ia dilihat lebih berkesan untuk menggalakkan penyertaan menyeluruh Bumiputera dalam semua aspek termasuk pengawalan syarikat, peluang memegang jawatan utama dan strategik, membuat keputusan perniagaan dan tidak terhad kepada pegangan ekuiti semata-mata seperti FIC.

Ekuinas juga disasarkan untuk menangani masalah kekurangan modal di kalangan Bumiputera untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan; kekurangan sumber keusahawanan dan kepakaran Bumiputera; serta memastikan golongan itu mampu bersaing dengan kaum lain di negara ini dan juga pada peringkat antarabangsa.

Sesungguhnya, rombakan dasar pelaburan yang diumumkan Perdana Menteri itu tidak hanya menggambarkan beliau serius membangunkan ekonomi menerusi penyediaan persekitaran pelaburan menarik dan adil, malah beliau juga berani untuk bangun menangani isu sensitif yang dianggap paling mencabar demi pembangunan dan kesejahteraan negara selaras slogan 1Malaysia.

Ia juga boleh dianggap sebagai pendekatan serampang tiga mata iaitu dengan memastikan Bumiputera tidak terus ketinggalan dan dapat bersaing sama rata dengan kaum lain dalam bidang ekonomi. Pada masa sama, pendekatan baru itu juga memberi keadilan kepada kaum lain di negara ini dan berupaya menarik lebih banyak kemasukan pelabur asing.

0 comments: