BN ada harapan tawan semula DUN Manek Urai

BN ada harapan tawan semula DUN Manek Urai

Oleh Ismail Mat
ismailmat@bharian.com.my

GENDANG perang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, kian kuat berdentum, apabila semua parti yang berhasrat bertanding sudah mengumumkan calon masing-masing menjelang hari penamaan yang dijadualkan 6 Julai ini.

Pada masa sama, perjalanan ke Manek Urai yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Kota Bharu, kini mula menyaksikan peningkatan mendadak aliran kenderaan milik petugas jentera pilihan raya menuju ke situ, yang selama ini hanya terkenal sebagai lokasi jualan lemang diusahakan penduduknya.

Kerusi DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaakub, dari Pas kerana serangan jantung pada 22 Mei lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Julai ini sebagai hari mengundi.

Bermula dengan Timbalan Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) yang juga jurujual kereta, Zakaria Salleh, 54, secara bersendirian tampil mengumumkan hasrat bertanding di kerusi terbabit pada 22 Jun lalu, Pas pula memilih peraih ikan di Pasar Kuala Krai, Mohd Fauzi Abdullah, 50, yang juga Bendahari Pas Kuala Krai, sebagai calonnya.

Kehangatan demam pilihan raya kecil Manek Urai yang semakin sinonim dengan singkatan 'MU' di kalangan wakil media yang membuat liputan itu terus meningkat apabila Barisan Nasional (BN) mengumumkan pemilihan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat, sebagai calon dalam usaha memberi saingan sengit merebut kerusi terbabit.

Tuan Aziz adalah Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Projek di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah di Hulu Kelantan, merangkumi kawasan jajahan Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Allahyarham Ismail yang juga Adun Manek Urai selama empat penggal, merampas kembali kerusi terbabit yang terlepas kepada Zulkifli Omar dari BN, pada 2004, dengan majoriti 1,352 undi. Pada Pilihan Raya Umum 2004 itu, Zulkifli memenangi kerusi berkenaan dengan menewaskan calon Pas, Zamzuri Mat Lazim, dengan majoriti 53 undi.

Kali ini, sekali lagi 12,272 pengundi DUN Manek Urai yang sebahagian besarnya terdiri penduduk kampung yang terbabit dengan aktiviti pertanian, terpaksa membuat pilihan.

Namun, sesuatu yang pasti kini, kemenangan atau kekalahan mana-mana calon pada pilihan raya ini tidak akan menjejaskan kekuatan kerajaan Kelantan yang dikuasai dengan selesa oleh Pas pada Pilihan Raya Umum Mac, tahun lalu.

Justeru, di kalangan pengundi Manek Urai kini mula kedengaran pandangan supaya suara pembangkang dalam DUN Kelantan kini perlu diperkuatkan sedikit sebagai amaran kepada kerajaan Pas Kelantan supaya tidak mengambil mudah dan kesempatan terhadap majoriti dua pertiga yang sedang dikuasai.

Antara yang jelas disedari rakyat Kelantan kini terutama golongan warga emas miskin yang mendapati mereka bagaikan dipermainkan, apabila kerajaan negeri bertindak mengurangkan pampasan Skim Takaful Kifalah daripada RM2,500 ketika dilancarkan menjelang Pilihan Raya Umum 2008 kepada RM1,500 mulai awal tahun ini.

Malah, majlis penyerahan pampasan skim itu yang begitu kerap diadakan menjelang Pilihan Raya Umum 2008 oleh pemimpin Pas, kini menyaksikan kira-kira 2,000 waris belum menerima pampasan seperti dijanjikan.

Namun, pampasan itu pastinya dilupakan lantaran ada pengundi kini dibuai impian royalti minyak seperti dicanangkan pemimpin Pas, kerana isu sama menarik perhatian menjelang pengundian pada Pilihan Raya Umum Mac tahun lalu.

Dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Kuala Krai kini, jelas terpampang kain rentang tertera amaran tindakan merampas tanah penduduk yang mempunyai tunggakan cukai akan diambil, langkah konfrontasi yang dielakkan kerajaan negeri ketika berpaut pada satu kerusi dengan perbezaan dua undi sepanjang 2004 hingga 2008.

Lantaran pelbagai isu dikaitkan dengan Pas sebelum dan selepas muktamar parti itu baru-baru ini termasuk pengaruh kumpulan erdogan, menyebabkan menjelang pilihan raya kecil Manek Urai, jentera pilihan raya Pas Kelantan cenderung memfokuskan kempen setempat konon sebagai lawan kepada pendekatan Umno.

Malah, beberapa pemimpin tertinggi Pas mulanya dilaporkan ditolak daripada bertandang membantu kempen parti itu di Manek Urai. Lidah rasmi Pas, Harakahdaily, melaporkan penasihat jentera Pas bagi DUN terbabit, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah sebagai berkata, hanya poster Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mempunyai nilai komersial tinggi dan menarik pengundi.

Laporan penolakan kehadiran beberapa pemimpinnya membawa kepada munculnya ungkapan kempen Pas di Manek Urai akan bersih daripada unsur H1N1 yang merujuk kepada Hadi dan timbalannya, Nasaruddin Mat Isa, yang sebelum ini lantang disuruh meletakkan jawatan oleh Nik Aziz.

Namun, pergeseran yang didakwa berlaku itu pantas dinafi dan dipatahkan apabila Hadi muncul bersama Nik Aziz pada malam pengumuman calon Pas di Manek Urai Lama sambil ditemani rakan dalam pakatan pembangkang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Biar apa pun isu, Pas tetap yakin mempertahankan kerusi DUN Manek Urai pada pilihan raya kecil ini. Pada masa sama, BN juga melaungkan kemenangan bukan suatu yang mustahil sambil mengakui seluruh jenteranya perlu bekerja keras ekoran tentangan sengit Pas yang pastinya mahu terus mempertahankan kerusi terbabit.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Kelantan

0 comments: