Singapura dakwa Batu Puteh tak bertuan

Oleh Khirul Bahri Basaruddin di The Hague, Belanda

Penggunaan surat pemangku Setiausaha Kerajaan Johor secara tidak langsung bantu kes Malaysia

HUJAH terra nullius atau sesuatu benda bukan milik sesiapa, kata-kata azimat yang diperdengarkan Singapura selama empat hari di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mendapat hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh.

Hujah terra nullius republik itu disokong dengan effectivit'es atau pentadbiran berkesan yang dijalankan oleh negara itu di Pulau Batu Puteh selama lebih 130 tahun.

Berpegang kepada dua hujah utama itu republik berkenaan cuba meyakinkan 14 hakim tetap dan dua hakim ad hoc ICJ bahawa negara itu mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh dan bukannya Malaysia.


Selain itu, republik itu mengemukakan hujah bahawa sesiapa saja yang memiliki Pulau Batu Puteh sekali gus mempunyai hak kedaulatan ke atas Middle Rocks dan South Ledge kerana kedua-dua pulau itu berada dalam gugusan kepulauan Pulau Batu Puteh.

Pasukan republik itu yang diketuai Ejen Prof Tommy Koh mendakwa Malaysia gagal mengemukakan bukti kepada mahkamah untuk mengesahkan negara itu mempunyai hak kedaulatan ke atas ketiga-tiga pulau itu.

Malah, hujah Malaysia sebagai pemilik asal pulau yang menjadi pertikaian itu tidak berasas kerana pulau tidak bertuan sehinggalah menjadi sebahagian wilayah penjajah British berdasarkan kehadiran wakil raja British di pulau itu pada 1847 serta pembinaan rumah api pada 1851.


Negara itu berhujah pulau itu terra nullius dan sebelum penemuan pada 1847, tidak ada sebuah negara di rantau itu secara nyata memiliki kedaulatan ke atas pulau terbabit sehinggalah pada 1979 apabila Malaysia memasukkan pulau berkenaan dalam peta negara itu yang diterbitkan pada 1980, sekali gus mendapat bantahan republik itu.

Gugusan kepulauan Pulau Batu Puteh kira-kira 25 batu nautika dari Singapura, manakala jaraknya hanya lapan batu nautika dari Tanjung Penyusoh, Johor, itu tidak pernah berada di dalam wilayah Malaysia atau Kesultanan Johor yang memerintah Johor-Lingga-Riau ketika penemuan pulau berkenaan.

Bagaimanapun, dalam tempoh perbicaraan itu republik itu bergantung penuh kepada peta Malaysia yang diterbitkan sebelum 1980 untuk menyokong kes republik itu pemilik hak kedaulatan ke atas pulau yang menjadi pertikaian itu.

Malah, peguam Singapura, Loretta Malintoppi menggunakan peta yang dikemukakan Malaysia dan bukan peta republik itu yang hanya diterbitkan pada 1995 untuk meyakinkan barisan panel hakim bahawa Johor bukan pemilik asal pulau itu.

Singapura yang begitu yakin surat pemangku Setiausaha Kerajaan Johor kepada Setiausaha Penjajah di Singapura pada 21 September 1953 berhubung jawapan negeri itu tidak menuntut kedaulatan Pulau Batu Puteh boleh menyokong kes negara itu sebenar secara tidak langsung membantu kes Malaysia.

Republik itu mendakwa surat itu dengan jelas mengesahkan bahawa Johor tidak menuntut kedaulatan pulau itu, dan jika ada negeri itu membuat tuntutan sebelum 1953, kini pemerintah Johor tidak lagi berbuat demikian.

Bagaimanapun, jika dilihat kandungan surat itu secara keseluruhan menunjukkan surat jawapan pegawai kanan kerajaan Johor itu tidak menyatakan Pulau Batu Puteh sudah menjadi sebahagian wilayah Singapura.

Malah, bahasa surat itu dengan jelas menyatakan republik itu sebelum ini tidak membuat tuntutan atau sebarang maksud mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh.

Singapura juga menggunakan hujah kegiatan yang dijalankan di pulau itu dalam tempoh 150 tahun lalu tidak mendapat bantahan daripada negara jirannya itu, sekali gus satu pengiktirafan ke atas kedaulatan pulau berkenaan.

Antara kegiatan seperti pembinaan rumah api Horsburgh dan pengibaran bendera negara itu secara terbuka di pulau itu yang tidak dibantah Malaysia, tidak seperti di rumah api Pulau Pisang.

Republik itu berhujah Malaysia berdiam diri dalam tempoh itu dan hanya mula mendakwa pulau itu miliknya melalui catatan peta yang diterbitkan pada 1980 dengan nama Pulau Batu Puteh dan bukannya dikenali sebagai Pedra Branca seperti yang dicatatkan Portugis ketika membuat peta rantau ini pada kurun ke-16.

Hujah itu tidak dapat membantu kes Singapura kerana sejak awal, Malaysia adalah pemilik asal pulau itu dan kebenaran sudah diberikan kepada pihak British untuk membina serta mengendalikan rumah api itu.

Sehubungan itu, secara logiknya apabila kebenaran sudah diberikan kepada pihak British, sebarang kegiatan yang dilakukan di kawasan itu tidak perlu lagi dirujuk kepada Malaysia kerana kedaulatan pulau itu tidak pernah diserahkan kepada penjajah itu.

Timbalan Perdana Menteri Singapura, Prof S Jayakumar ketika menggulung kes pusingan pertama, mendakwa tuntutan Malaysia ke atas kedaulatan pulau berkenaan sebagai satu tindakan luar biasa.

Beliau mendakwa kes di depan mahkamah itu bukan kes rumit, iaitu Pulau Batu Puteh terra nullius dan penjajah tidak perlu mendapat kebenaran menduduki pulau itu daripada sesiapa.

Sehubungan itu, tidak timbul soal kesultanan Johor atau Malaysia pemilik pulau itu kerana sebelum ini Pulau Batu Puteh tidak bertuan.

Malaysia akan mengemukakan hujah pusingan pertama esok bagi menunjukkan kedaulatan Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan South Ledge dan menjadi milik Malaysia sejak kewujudan Kesultanan Johor lagi.

0 comments: