Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
|
|
KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara, Nicol David menamatkan aksi tahun ini dengan bergelar juara Terbuka Hong Kong buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan musuh tradisi, Natalie Grinham dari Australia, semalam.
Dalam perlawanan akhir di Plaza Hollywood, Hong Kong yang berlangsung hampir sejam, Nicol, 24, yang menang 9-3, 9-5, 10-8 turut melebarkan koleksi kejuaraannya kepada lapan sepanjang tahun ini sambil meraih ganjaran selaku juara, AS$12,819 (RM42,597).
Sejak Mac lalu, gadis kelahiran Pulau Pinang menjuarai Terbuka Kuala Lumpur, Terbuka Kuwait (April), Klasik Qatar 2006 (April), Terbuka Malaysia (Julai), Master Singapura (Ogos), Terbuka Belanda (Ogos) dan Klasik Qatar 2007 (November).
Dia turut bergelar naib juara Terbuka Britain di Manchester dan Terbuka Kota Seoul selain kalah mengejut seawal pusingan kedua Terbuka Dunia di Madrid, Sepanyol.
Kemenangan ke atas Natalie, adik Rachael Grinham yang mengecewakannya di Manchester, merupakan kali ke-10 dalam 13 pertemuan sejak 36 bulan lalu dan yang kelima tahun ini selepas di Kuwait, Kuala Lumpur, Doha dan Singapura.
Kata Nicol, “sungguh menarik dapat menang semula seperti mana di Doha (Klasik Qatar), baru-baru ini. Kali ini saya tetap bermain pada tahap terbaik dan memang berharap mencapai kesudahan yang baik dalam kejohanan terakhir tahun ini.
Jelas pemain nombor satu dunia ini, “kemenangan tiga set berterusan tidak memberikan gambaran sebenar suasana perlawanan ini. Tentangan Natalie cukup hebat dan saya hanya berharap untuk terus menang walaupun terpaksa bekerja keras.
“Setiap permainan rali menuntut kepesatan yang tinggi malah kadangkala seperti tidak berkesudahan. Mungkin kerana keinginan tinggi dan kerja keras saya untuk menang tiga set dan menghabiskan segera, mendorong kejayaan ini,” katanya.
Natalie, pilihan kedua kejohanan, menganggap dia sudah cuba mengekang Nicol sedaya upaya tetapi lawan masih menang kerana mempunyai kelebihan dari segi pergerakan pantas dan mampu mengutip setiap hantaran dan pukulannya.
“Titik tolak kekalahan ini ialah dalam set ketiga apabila saya cuba bertukar rentak permainan pantas tetapi tersilap dalam satu permainan rali. Ia cukup mengecewakan saya walaupun keseluruhannya, permainan kami setara.
“Namun saya tidak begitu berharap besar kali ini memandangkan pergelangan tangan saya masih sakit sejak Terbuka Dunia lalu. Saya berpuas hati dapat mara ke perlawanan akhir di Hong Kong walaupun dengan keadaan itu,” katanya.
Sementara itu, pilihan utama kejohanan, Amr Shabana dari Mesir menggondol gelaran lelaki selepas menundukkan pilihan kedua dari Perancis, Gregory Gaultier 11-13, 11-3, 11-6, 13-11 dalam tempoh 61 minit.
0 comments:
Post a Comment