Songket import kuasai Terengganu

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD

SEKIRANYA anda mengunjungi beberapa buah kedai jualan songket di sekitar bandar ini, mungkin jiwa anda berasa tenteram dan tertarik apabila menyaksikan lambakan songket memenuhi ruang legar jualan.

Namun di sebalik keghairahan anda menyaksikan pelbagai songket dengan konsep dan reka bentuk yang menarik, janganlah terkejut jika didapati hampir 80 peratus daripada songket tersebut sebenarnya songket import.

Ia merupakan sebahagian pemandangan biasa mengenai kedudukan pasaran songket di Terengganu sekarang.

Di sebalik kehebatan negeri ini sebagai sebuah negeri pengeluar songket utama negara, sebenarnya di Terengganu sendiri terdapat banyak lambakan songket import dan keluaran negeri jiran di pasaran.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati walaupun sebahagian besar songket di pasaran adalah yang import namun dari segi reka bentuk dan konsep ia seakan-akan sama dengan songket tempatan.

Cuma yang membezakannya adalah daripada segi harga kerana bagi sampin songket tempatan dijual antara RM300 hingga RM1,000 sehelai manakala songket import pula hanya RM100 hingga RM120.

Selain itu, kualiti kain songket import ternyata lebih keras berbanding tempatan yang lebih lembut dan halus.

Beberapa orang pengusaha songket ketika ditemui bimbang sekiranya gejala penjualan songket import dibiarkan berleluasa ia tentunya boleh membunuh industri songket tempatan.

Pengusaha songket, Ngah Mamat,70, berkata, pihaknya khuatir pengusaha songket tempatan mungkin gulung tikar sekiranya pihak berkuasa gagal membendung kebanjiran songket import di pasaran sekarang.

Katanya, jualan songket tempatan mungkin jatuh kerana harga dijual jauh lebih murah berbanding songket tempatan.

‘‘Sebagai contoh harga jualan bagi sampin import hanyalah dalam lingkungan RM100- 130 sehelai berbanding songket tempatan berharga antara RM300 hingga RM400,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Debu, di sini.

Ngah menambah, walaupun daripada segi kualiti songket tempatan ternyata lebih berkualiti tetapi kerana harga dijual murah menjadikan penduduk lebih gemar songket diimport.

Katanya, daripada segi corak dan reka bentuk hampir 98 peratus songket import menyerupai batik tempatan, cuma yang membezakan adalah daripada segi harga.

Ngah yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Kraf Negara 2002 oleh kerajaan berkata, songket yang usahakan dijual dalam lingkungan RM25 hingga RM15,000 sehelai.

Songket yang berharga di bawah RM500 menjadi pilihan pembeli golongan bawahan manakala orang kenamaan yang mengutamakan kualiti tidak mementingkan harga atau tidak berkira walaupun harga jualan mencecah RM15,000 sehelai.

Beliau yang mewarisi industri songket daripada ibunya hampir 50 tahun lalu, berharap kerajaan dapat membantu industri songket tempatan kerana ia menghadapi persaingan hebat daripada songket luar.

Katanya, ancaman songket Terengganu adalah songket keluaran negara India, Pakistan dan Indonesia dan sekiranya kebanjirannya gagal dibendung ia tentunya meruntuhkan industri songket tempatan.

‘‘Songket luar walaupun nampak cantik tetapi daripada segi kualiti dan mutu tidak dapat menandingi songket kita, tetapi kerana harganya murah menjadikan ia laris di pasaran.

‘‘Corak dan motif songket kita sama dengan songket luar... Ini berlaku kerana ada di kalangan orang kita menjual corak dan reka bentuk songket kita ke luar kerana ingin mendapat keuntungan cepat.

‘‘Mereka berbuat demikian mungkin kerana mendapat tahu songket mula mendapat perhatian di negara kita, jadi mereka lantas meniru corak yang sama bagi menerobos pasaran tempatan,” katanya.

Ngah yang mewarisi seni pembuatan songket dari ibu dan neneknya, Mariam Mohd. Amin dan Kalthom Mamat sejak kecil menggesa kerajaan membantu dengan menyekat penjualan songket luar yang berlegar di pasaran sekarang.

‘‘Kerajaan boleh mengenakan cukai yang tinggi terhadap songket luar atau pelbagai kaedah lain yang boleh difikirkan bersama,” tambah Ngah lagi.

Sementara itu pengarah Perbadanan Kraftangan Negeri Terengganu, Kamarulzaman Mera Hussin ketika ditemui berkata, pihaknya memandang berat kes lambakan songket import di pasaran tempatan sekarang.

Katanya, pihak kementerian kebudayaan, warisan dan kesenian bercadang memperkenalkan standard atau label bagi songket keluaran tempatan bagi mempastikan mutu produk yang dihasilkan.

Katanya, perkara ini sedang dilakukan oleh kementerian dalam usahanya memastikan songket tempatan terus mengekalkan mutu dan kualiti sejajar dengan keaslian songket tempatan.

Seiring dengan itu, Kamarulzaman menambah, pelbagai langkah dan usaha telah dan akan dilakukan oleh perbadanan itu bagi memastikan songket tidak terus berkubur.

Selain memperkenalkan beberapa skim latihan, bantuan dan pemasaran perbadanan itu dijangka memperkenalkan sijil atau tanda perniagaan songket keluaran tempatan.

‘‘Kementerian dijangka memperkenalkan sijil jaminan mutu bagi setiap produk songket ke arah memastikan produk yang dihasilkan oleh usahawan tempatan berkualiti.

‘‘Ia sekali gus meningkatkan pengeluaran dan kesedaran masyarakat untuk membeli dan mendapatkan songket tempatan yang ternyata lebih berkualiti berbanding songket import,” katanya.

0 comments: