Imej CCTV Suzuki Jimny bakal jadi isu

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Kesahihan gambar kenderaan pacuan empat roda yang dicetak daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Kota Damansara bakal dipersoalkan dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang masuk hari ke-57 esok.

Isu itu dijangka dibangkitkan melalui pemeriksaan balas terhadap Juruanalisis Kanan Forensik Digital di Cyber Security Malaysia, Mohd. Zabri Aidil Talib, 28, yang sebelum ini mengesahkan ia kenderaan jenis Suzuki Jimny dengan nombor pendaftaran CAC 1883.

Keterangannya tentang persamaan unik pada kenderaan yang dijadikan asas pengecaman seperti pelekat hijau di cermin hadapan, lampu sorot, lampu kabus, bahagian belakang, bumbung dan lampu bahagian pastinya bukan kesimpulan muktamad.

Lebih-lebih lagi nombor pendaftaran kenderaan tersebut tidak dapat dilihat dengan jelas pada mana-mana daripada 12 keping gambar yang dikemukakan di mahkamah pada Rabu lalu.

Begitu juga perbezaan masa yang tercatat pada rakaman CCTV berbanding dengan rekod penggunaan kad Touch’n Go yang didaftarkan di bawah nama tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar.

Apa yang pasti, barisan peguam bela yang mempunyai masa selama empat hari bermula Khamis lalu untuk meneliti laporan hasil analisis imej-imej itu akan bergabung tenaga bagi menimbulkan keraguan terhadap keterangan saksi pendakwa ke-49 itu.

Dalam kes itu, Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, didakwa membunuh wanita Mongolia, Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh itu dibicara bersama penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda yang didakwa bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan tersebut di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.45 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.

0 comments: