Siti Salmah tunjuk perkembangan positif

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Penerima jantung dan paru-paru, Siti Salmah Jasni, 18, yang dilaporkan kritikal sebenarnya menunjukkan perkembangan positif walaupun selepas seminggu dibedah.

Utusan Malaysia difahamkan, Siti Salmah yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN sudah memberi sedikit tindak balas dengan mencelikkan mata seketika dan itu memberi keyakinan segalanya berjalan baik.

‘‘Doktor memantau keadaan Siti Salmah di ICU setiap saat. Ibunya juga sentiasa menemani walaupun berada di luar bilik kaca untuk mengelakkan jangkitan.

‘‘Ada perkembangan positif,” kata satu sumber IJN di sini hari ini.

Siti Salmah yang menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru awal bulan ini selepas keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kedah bersetuju mendermakan semua organ dan tisu badan wanita berkenaan.

Nasib Siti Salmah tidak seperti penerima jantung, Tee Hui Yee, 14, yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan memberangsangkan malah mencatatkan keputusan gred 1 A iaitu hampir tiada penolakan langsung pada sistem badannya dalam ujian biopsi selepas seminggu dibedah.

Namun pembedahan ke atas Siti Salmah 10 hari lalu sebenarnya telah ‘mengeluarkannya’ daripada tempoh bertahan dua tahun yang dilaluinya dengan menggunakan tangki oksigen selama sekurang-kurangnya 16 jam setiap hari.

Sumber itu menambah, orang ramai diminta tidak terlalu risau dengan keadaan Siti Salmah sebaliknya terus berdoa agar dia sihat dan dapat meneruskan hari-hari mendatang seceria gadis belasan tahun yang lain.

‘‘Ibunya (Sabariah Mustaffa, 49) selalu menangis. Berdoalah untuk kesihatan Siti Salmah dan keceriaan keluarga ini semula,” ujarnya.

Pengumuman rasmi IJN tentang keadaan Siti Salmah dijangka dibuat tidak lama lagi.

0 comments: