Faiz setuju membujang hingga 2011

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Angkasawan negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed akur dengan saranan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis supaya tidak mendirikan rumah tangga sehingga misi penghantaran angkasawan kedua negara selesai pada 2011.

Beliau berkata, soal kahwin bukan satu masalah besar baginya kerana menyedari keutamaan sekarang ialah memberi tumpuan sepenuhnya kepada misi program tersebut.

‘‘Misi yang akan datang ini lebih mencabar dari segi latihan dan eksperimen yang bakal saya kendalikan.

‘‘Saya sudah bersedia untuk memberikan fokus kepada misi utama program tersebut iaitu melaksanakan tugas untuk negara,’’ katanya ketika dihubungi di Moscow hari ini.

Beliau juga tidak menganggap saranan itu sebagai satu paksaan memandangkan ia demi memastikan kesempurnaan misi program nasional tersebut kelak.

‘‘Saya sedar bukan itu sahaja, malah banyak lagi pengorbanan yang perlu dilakukan dan saya memahaminya,’’ katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya adakah sudah mempunyai teman istimewa mahupun rancangannya untuk berumah tangga.

Semalam, Jamaluddin memintanya mempertimbangkan saranan itu semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Menurut menteri itu, ia bertujuan memastikan Faiz sentiasa dapat memberikan sepenuh fokus kepada setiap sesi latihan yang akan diikutinya.

0 comments: