NICOL David menutup tirai 2007 dengan penuh bergaya apabila menjuarai gelaran kelapannya di kejohanan bernilai AS$89,000 (RM311,500) Terbuka Hong Kong semalam untuk terus mengungguli status pemain nombor satu dunia selama 12 bulan penuh, tahun ini.
Dan dia melakukannya dengan begitu mudah, apabila hanya memerlukan tiga set untuk menundukkan musuh ketatnya, Natalie Grinham dari Australia, 9-3, 9-5, 10-8 di Plaza Hollywood.
Tidak seperti pertemuan sebelumnya dengan pemain nombor dua dunia itu yang sering kali mengheret permainan hampir dua jam seperti di final Terbuka Dunia tahun lalu dan penentuan Terbuka KL, Mac lalu, pertembungan kali ke-19 mereka pada pentas profesional ditentukan selepas 58 minit.
Begitupun, Nicol tidak melihat keputusan itu sebagai gambaran sebenar pertarungan sengit mereka berdua dalam perjalanannya merangkul hatrik mahkota ini.
"3-0 tidak menunjukkan betapa sengitnya perlawanan ini. Natalie berjuang habis-habisan, anda perlu terus berusaha dan berharap dapat meraih kemenangan.
"Ia sesuatu perasaan yang hebat untuk meraih keputusan yang diingini. Saya berasa seronok sepanjang minggu ini dan sebelumnya, dan saya menghadapi perlawanan ini dengan azam untuk melakukan yang terbaik.
"Ini adalah kejohanan yang terakhir tahun ini, jadi saya memasuki perlawanan final ini dengan harapan dapat menamatkan musim dengan baik, terutama selepas menang di Qatar minggu lalu," katanya.
Kemenangan ini menyaksikan Nicol melanjutkan penguasaannya ke atas Natalie dalam senarai Jelajah Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (Wispa) kepada 13-6.
Natalie hanya sekali saja menewaskan Nicol tahun ini iaitu pada final Terbuka Seoul yang menamatkan rentetan 51 kemenangan berturut-turut pemain kelahiran Pulau Pinang itu.
Secara keseluruhan, hanya dua pemain lain merasai pengalaman menundukkan Nicol sepanjang 2007 iaitu kakak Natalie, Rachael pada final Terbuka Dunia dan Shelley Kitchen dari New Zealand pada pusingan kedua Terbuka Dunia.
Pemain negara berusia 24 tahun itu sebelum ini menjuarai Terbuka KL (Mac), Terbuka Kuwait (April), Qatar Klasik (April, edisi 2006 yang ditunda ke tahun ini), Terbuka Malaysia (Julai), Terbuka Singapura (Ogos), Terbuka Belanda (Ogos) dan Klasik Qatar (November).
Sementara itu, dalam acara final lelaki, pilihan pertama, Amr Shabana dari Mesir juga meraih gelaran hatrik apabila mengenepikan pilihan kedua, Gregory Gaultier dari Perancis, 11-13, 11-3, 11-6, 13-11 dalam tempoh 61 minit.
0 comments:
Post a Comment