Samudera tepati ramalan ke AJL

SHAH ALAM: Lagu Samudera nyanyian Nora menepati ramalan ramai apabila mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-22 bagi kategori Etnik Kreatif di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, malam tadi.

Lagu sentuhan Johan Nawawi dan lirik Ahmad Fedtri Yahya itu terpilih pada pertandingan Muzik-Muzik 22 separuh akhir yang dipancarkan secara langsung menerusi TV3.

Samudera mengiringi dua lagu lain yang turut menempa tempat pada kemuncak AJL 22, Januari depan iaitu Kasihnya Balqis dan Dirgahayu.

Lagu Kasihnya Balqis adalah ciptaan Adnan Abu Hassan dan lirik Moharis Yaakup, disampaikan dengan berkesan oleh Aishah.

Sementara itu, Dirgahayu yang dinyanyikan Ramlah Ram pula menerima sentuhan Radeen Sri, manakala liriknya diilhamkan Hairul Anuar Harun.

AJL 22 hanya menyediakan tiga tempat untuk lagu genre Etnik Kreatif disebabkan kekurangan penyertaan untuk kategori itu, berbanding empat tempat pada tahun lalu.

Sebanyak 10 ciptaan ditampilkan malam tadi yang diadili panel juri terdiri barisan komposer seperti Iman Wan, Khairil Johari Johar, Edry Abdul Halim; penulis lirik, Amran Omar; Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh dan Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan.

Separuh akhir Muzik Muzik 22 akan disusuli dengan persaingan kategori Balada di lokasi sama pada 18 November ini dan diakhiri kategori Pop/Rock, 25 November depan.

0 comments: