Lojing digondol diusaha petani luar


GONDOL... Bukit Tanah Tinggi Lojing yang gondol akibat kegiatan membuka tanah untuk tanaman sayuran. Pemimpin Barisan Nasional Kelantan semalam mendakwa tanah di kawasan itu telah diberikan kepada beberapa syarikat dari luar negeri itu atas nama pertanian. – Bernama.

GUA MUSANG 11 Nov. – Kerajaan negeri Kelantan didakwa memberi kelulusan kepada beberapa syarikat yang menggunakan petani dari luar negeri ini untuk mengusahakan pertanian di Tanah Tinggi Lojing sejak setahun lepas.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Bazlan Baharuddin mendakwa kecuali projek diraja yang menempatkan pesara tentera, semua tanah lain diusahakan secara besar-besaran oleh petani dari luar Kelantan.

“Setakat ini kerajaan negeri hanya cakap sahaja tetapi tidak mampu memajukan tanah itu untuk rakyat Kelantan kecuali projek diraja itu,” katanya ketika ditemui Bernama di sini semalam.

Bazlan yang membuat tinjauan ke kawasan itu berkata, hampir 100 peratus kawasan bekas tapak pembalakan itu diusahakan oleh petani luar yang menggunakan pekerja asing dari Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.

“Kerajaan negeri berdalih dengan pelbagai alasan apabila Barisan Nasional (BN) menyuarakan penyelewengan dalam pengagihan tanah kepada syarikat-syarikat tertentu termasuk dari Singapura,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri ini sepatutnya mengutamakan golongan belia Kelantan dalam mengusahakan kawasan itu secara berkelompok bagi membolehkan mereka berdikari.

“Apa yang mendukacitakan setakat ini tiada usaha ke arah memajukan belia Kelantan dengan pertanian menyebabkan belia terbabit menganggur,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Sazmi Miah berkata, sistem penerokaan tanah tidak bersistematik di kawasan itu menyebabkan kemusnahan alam sekitar, aliran sungai terhalang dan pencemaran air sungai.

Dalam pada itu, Tok Batin Malu, 43, berkata, hanya sebilangan kecil belia Orang Asli bekerja di ladang sayur itu yang diusahakan oleh pengusaha Cina dari Perak.

Beliau berkata, walaupun ladang itu terletak berdekatan dengan perkampungan Orang Asli Pos Brooke tetapi yang bekerja kebanyakannya adalah warga asing.

Beliau kesal kerana orang tempatan berdekatan tidak dapat merasai nikmat kemajuan yang dibawa masuk dengan menawarkan penduduk kampungnya bekerja di kawasan projek itu.

“Kita harap lebih ramai belia Orang Asli dapat bekerja dan mengusaha sendiri tanah di kawasan ini... dapatlah kita rezeki lebih sikit,” katanya.

– Bernama

0 comments: