PM ajak parti komponen zahirkan kekuatan BN

Oleh Veena Rusli


ERAT PERPADUAN: Abdullah bersama V Jothi (tiga dari kiri), Musa (tiga dari kanan) dan pemimpin parti komponen BN memotong kek ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC Sabah di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Iltizam, kesepakatan pemimpin persediaan penting hadapi pilihan raya

PENAMPANG: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melahirkan keyakinannya terhadap sokongan dan iltizam parti komponen di Sabah dalam memikul perjuangan Barisan Nasional (BN) secara berterusan. khususnya bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Sehubungan itu, Perdana Menteri selaku Pengerusi BN berkata, kekuatan BN di Sabah mesti ditunjangi sokongan majoriti rakyat pada pilihan raya umum supaya wujud kesinambungan dari segi hubungan erat sedia ada dengan Kerajaan Pusat.

"Kita mahu BN mendapat undi majoriti pada pilihan raya umum kelak sebagai pengesahan terhadap penerimaan rakyat. Kekuatan BN mesti dapat dilihat, dirasai dan diakui rakyat Sabah. Saya yakin ia mampu dihasilkan jika kita sepakat dan bersefahaman,� katanya.


Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-22 di Dewan Hongkod Koisaan di sini, semalam. Hadir sama di majlis bertemakan 'Patriotisme Asas Perpaduan' itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Presiden PBS, Datuk Joseph Pairin Kitingan serta barisan pimpinan PBS.

Abdullah berkata, BN akan terus memiliki kekuatan jika parti komponennya teguh menjana kekuatan dan bijak menangani halangan.

"Di kalangan parti komponen, kita lebih banyak persamaan berbanding perbezaan dan kelebihan itu membolehkan semua pihak berdiri di landasan sama. Kita ada banyak kelebihan yang tidak membawa kepada pergaduhan atau pergeseran, jadi kalau kita jaga apa yang sama-sama milik kita, ia memberi kita kekuatan.


"Saya kenal pemimpin parti komponen BN dan semuanya menyedari hakikat masa depan adalah milik kita bersama dan kita yang menentukan hala tujunya," katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak supaya menjauhi perbalahan yang membawa kepada kelemahan dan boleh menyebabkan BN kehilangan kuasa, sekali gus tidak lagi berfungsi melaksanakan kejayaan demi kepentingan rakyat.

Mengakui kepentingan setiap pihak menyuarakan kepentingan masing-masing, Abdullah berkata, pertimbangan perlu juga diberi terhadap rakan lain kerana BN bukan terbentuk atas konsep bersendirian.

"Kita ada Umno, PBS dan parti lain yang memberi kekuatan kepada BN di Sabah, maka kepentingan semua pihak mesti diambil kira. Kerajaan Sabah mesti berusaha bersungguh-sungguh dan gandingan antara Kerajaan Pusat bersama negeri mesti diwujudkan.

"Saya tiada masalah dengan kerajaan BN Sabah sekarang. Saya telah, sedang dan akan terus bekerjasama terutama dalam hal berkaitan pembangunan," katanya yang gembira dengan perkembangan semasa Koridor Pembangunan Sabah yang dijadual dilancarkan akhir tahun ini.

"Tadi Ketua Menteri beritahu mesyuarat akhir mengenainya akan diadakan pada 16 November ini di Kuala Lumpur, jadi saya ucapkan terima kasih kerana Ketua Menteri mengotakan janji untuk pastikan semuanya dapat dilaksanakan dengan cepat.

"Idea mesti diterjemahkan dalam bentuk rancangan dan kita kena pastikan apa perlu dibuat supaya ia berjaya. Rancangan untuk memajukan Sabah bukan mimpi, sebaliknya akan diterjemahkan dengan baik dan Koridor Pembangunan Sabah adalah antara usaha ke arah itu," katanya.

0 comments: