Naser juara, Tuanku Mizan di tempat ke-23


Tuanku Mizan Zainal Abidin gigih dan tabah meneruskan cabaran sejauh 160km pada waktu malam dalam keadaan hujan lebat dan trek yang berbecak di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Setiu, Terengganu, semalam.

SETIU – Peserta Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Naser Marzouqi menjuarai Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) setelah mendapat tentangan sengit Jack Begaud dari Perancis di sini, semalam.

Naser yang menunggang kuda bernama ‘Hafiza Du Mas’ mencatat masa kejohanan sejauh 160km itu dengan 10:31:50 atau 14.86 sepusingan mendahului cabaran terdekat Jack Begaud, 10:33:27 atau 14.82 sepusingan.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang turut mengambil bahagian dalam cabaran itu hanya menduduki di tempat ke-23 dengan catatan masa keseluruhan 14:20:26 atau purata 10.91 bagi setiap pusingan.

Tuanku Mizan yang memakai nombor 101 menunggang kuda bernama ‘Harmere Cairo’.

Di tempat ketiga daripada seramai 41 pelumba dari seluruh dunia ialah Maria Vitoria Liberal Lins dari Brazil dengan catatan masa keseluruhan 10:39:07 atau purata 14.69 sepusingan.

Salah seorang peserta Malaysia, Faizal Ismail adalah di antara kelompok 10 peserta yang menamatkan cabaran lebih awal dengan masa keseluruhan 11:42:00 atau masa purata 13.38 sepusingan.

Che Ahmad Yusri Muhamad daripada Malaysia merupakan peserta terakhir menamatkan persaingan dengan catatan masa keseluruhan 14:53:07 atau 10.51 sepusingan, tiba kira-kira pukul 12.24 tengahari.

Peserta-peserta yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini ialah dari Brazil, Jepun, Itali, Belgium, Pertugal, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Afrika Selatan, Australia dan Malaysia.

Selain Tuanku Mizan, penunggang Malaysia lain ialah Datuk Abdullah Talib, Datuk Awang Kamaruddin, Ahmad Azura dan Azman Mat Ripin, dari pasukan tuan rumah, Darul Iman Endurance Team.

Majlis pelepasan telah disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh di TIEP pukul 4.30 petang semalam.

Kejohanan Piala Sultan Terengganu 2007 adalah sebahagian daripada persediaan untuk menganjurkan Kejohanan Kuda Lasak Dunia FEI di sini tahun depan.

Penyampaian hadiah akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong pada majlis di Dewan Besar Wisma Darul Iman malam ini.

– Bernama

0 comments: