Kumpulan pertama jemaah haji berlepas

Oleh Azrina Ahzan


BERI BANTUAN: Pramugari Boeing 747-400 membantu jemaah haji ketika menaiki pesawat sebelum berlepas dari KLIA, semalam.

SEPANG: Kumpulan pertama 380 jemaah haji Malaysia, berlepas ke Madinah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam dengan pesawat Boeing 747-400 milik Penerbangan Malaysia (MAS).

Tahun ini, MAS menyediakan 108 penerbangan pergi dan balik untuk kira-kira 16,000 jemaah haji dari beberapa bandar raya di negara ini ke Makkah atau Madinah. MAS turut menambah jumlah penerbangan terus pergi balik dari Johor ke Madinah.

Selain KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor, beberapa kumpulan jemaah dijadual berangkat ke Tanah Suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.


Ketua Jabatan Haji dan Sewa Khas MAS, Kapten Nik Huzlan Nik Hussain, berkata pada musim haji ini, pihaknya mencetak panduan solat (jamak dan qasar) bersaiz poket untuk diedarkan kepada jemaah di dalam pesawat bagi kemudahan mereka.

"Tahun lalu, kita mencetak panduan ini dalam ukuran A4 hingga menyukarkan jemaah haji menyimpannya, jadi tahun ini kita mengambil keputusan mencetaknya dalam ukuran yang lebih kecil untuk keselesaan jemaah.

"Selain itu, kami turut memperbaharui rekaan pakaian pramugari bertugas dalam penerbangan haji bagi memenuhi kehendak jemaah berikutan maklum balas yang diterima tahun lalu,� katanya ketika ditemui selepas majlis menghantar kumpulan pertama jemaah haji musim ini di KLIA, semalam.


MAS juga menerima sumbangan pelbagai barangan seperti beg plastik, air mineral dan makanan ringan bernilai kira-kira RM80,000 daripada individu dan korporat untuk diedarkan kepada jemaah haji apabila tiba di Jeddah dan Madinah.

Sementara itu, seorang jemaah, Ramlah Abdul Rahman, 79, ketika ditemui erharap dapat menunaikan ibadat haji dengan sebaik mungkin walaupun mengalami sakit lutut hingga menyebabkan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk menaiki pesawat.

"Ini kali pertama saya ke Tanah Suci untuk menunaikan haji. Nasib baik ada anak dan menantu sanggup menemani saya dan saya berdoa supaya dapat menunaikan ibadat ini dengan baik dan dianugerahkan haji yang mabrur," katanya.

Amirul Shafiq Rodin, 15, pula hasrat mengerjakan haji pernah disuarakan kepada kedua ibu bapanya ketika beliau berusia enam tahun.

"Sejak kecil lagi, memang saya ingin pergi menunaikan haji lebih-lebih lagi bila melihat ibu bapa ke Tanah Suci buat pertama kalinya ketika saya berusia enam tahun. Alhamdulillah, impian saya dimakbulkan Allah tahun ini dan saya berharap akan mendapat haji mabrur," katanya.

Ibu Amirul, Tumisah Chekan, 55, pula bersyukur kerana dapat menunaikan hasrat anaknya yang belajar di tingkatan tiga Sekolah Menengah Unwanus Saadah, Kancong Darat, Banting, Selangor.

Tahun ini seramai 26,000 jemaah haji Malaysia dijadual berangkat ke Tanah Suci dan penerbangan terakhir untuk mereka ke sana dijangka berlepas ke pada 13 Disember ini.

0 comments: