Estrada bebas selepas 6 tahun kena tahan

MANILA: Bekas presiden Filipina yang digulingkan, Joseph Estrada semalam dibebaskan buat pertama kalinya dalam tempoh enam setengah tahun selepas penggantinya memberi pengampunan terhadap hukuman penjara seumur hidup berikutan dakwaan rasuah, langkah yang dilihat cuba mengalih politik Filipina.

Perintah mahkamah dikeluarkan membenarkan bekas bintang filem aksi berusia 70 tahun itu meninggalkan villa miliknya di timur Manila, lokasi dia menghabiskan masa dalam tahanan sejak ditahan pada Januari 2001 apabila dia digulingkan melalui kuasa rakyat.

Bulan lalu, Estrada bersalah atas dakwaan rasuah dan dihukum penjara seumur hidup. Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo, bagaimanapun mengampunkan dia kelmarin.


Pengampunan berkenaan disambut dengan pelbagai kritikan disebabkan Arroyo pada masa ini berdepan dengan cubaan dakwaan ketiga terhadapnya dan gesaan supaya meletak jawatan.

Bagaimanapun, Estrada yang menjadi pengkritik utama Arroyo sejak enam tahun lalu, melihatnya sebagai tanda perdamaian buat pertama kali selepas dia digulingkan.

Sehari selepas dimaafkan, Estrada berterima kasih kepada Arroyo sambil mengulangi keinginan menjadi rakyat biasa dan menarik balik serangan dilontarkan terhadap pentadbiran Arroyo sambil menggesa penyokongnya memberi sokongan terhadap program antikemiskinan dan kelaparan.


"Saya menyedari masa berlalu dan pilihan sukar yang perlu dilalui Arroyo sebelum dia membuat keputusan eksekutif ini," kata Estrada dalam satu kenyataan.

Arroyo mengakui bahawa keputusan itu mencetuskan kontroversi, tetapi berkata pengampunan berkenaan bertujuan baik bagi menamatkan krisis dan kontroversi politik ketika pemerintahannya. � AP

0 comments: