Kenaikan tarif elektrik belum diputuskan

Oleh: ABDUL MUIN SAPIDIN

KEPALA BATAS 26 Okt. – Kerajaan belum membuat keputusan sama ada mahu menaikkan atau tidak tarif elektrik di negara ini walaupun berlakunya kenaikan berterusan harga bahan bakar termasuk minyak dan gas di peringkat global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagaimanapun mengakui terdapat tekanan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung soal itu, ekoran situasi harga sumber tenaga di pasaran dunia masa kini.

“Kita belum tetap apa-apa lagi. Memang harga tenaga dan minyak sudah naik, perkara ini sangat dirasai oleh TNB,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hospital Kepala Batas (HKB) dan Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pihaknya kini menanggung kos operasi yang tinggi berikutan kenaikan harga minyak dan gas serta arang batu di pasaran.

Katanya, harga gas yang digunakan oleh TNB pada masa ini tidak mencerminkan harga sebenar komoditi itu di pasaran dan pengguna elektrik tidak boleh lagi mengharapkan kadar tarif dikekalkan.

Sehubungan itu, tambahnya, TNB telah menghantar cadangan kepada kerajaan berhubung kenaikan kadar tarif elektrik dan terpulang kepada kerajaan untuk membuat keputusan.

“TNB bergantung kepada tiga sumber bahan bakar iaitu minyak dan gas yang kini mengalami lonjakan harga yang ketara dan sumber alternatif ketiga, arang batu yang turut mengalami kenaikan harga,’’ jelas Che Khalib.

Sebelum ini, Petronas bercadang menaikkan harga gas dan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Tenaga yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri baru-baru ini telah memutuskan bahawa tidak ada kenaikan harga gas buat masa ini.

Dalam pada itu, keputusan kewangan syarikat utiliti itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2007 mencatat peningkatan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM4.765 bilion berbanding RM2.756 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara yang baru, Abdullah sekali lagi menegaskan masih belum ada perkembangan terbaru mengenainya.

“Tidak ada apa-apa lagi. Saya sudah beritahu tidak bincangkan perkara ni,” tegasnya yang enggan mengulas lanjut mengenai kedudukan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sebagai Ketua Hakim Negara yang akan bersara wajib pada 31 Oktober ini.

Ahmad Fairuz, 65, yang juga Hakim Mahkamah Persekutuan, sekarang sedang bercuti untuk menghabiskan baki cuti tahunannya sebanyak 100 hari dan beliau dijangka memulakan tugasnya Isnin ini.

0 comments: