Sat | Oct 27, 07 | 4:09:19 pm MYT
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Hrkh) - Lakonan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sering kali menyuarakan slogan bahawa kerajaan sentiasa berusaha mengagihkan kekayaan dan menganugerahkan projek negara kepada ramai kontraktor untuk dimanfaat bersama ternyata hanya satu 'silap mata' yang akhir menimbulkan persoalan dan diragui banyak pihak.
Baru-baru ini Abdullah dibidas dan dipersoal kewibawaannya apabila menganugerahkan satu projek bernilai RM8 bilion untuk tebatan banjir di Lembah Klang hanya kepada syarikat Wijaya Baru Sdn Bhd.
Perkara ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub ketika menggulung perbahasan di Parlimen baru-baru ini yang kecewa dengan sikap PM yang pandai menyarankan tetapi gagal melaksanakan apa yang diucapkan.
"Adakah wajar kerajaan memberikan kepada satu syarikat sahaja, lapan projek yang bernilai lebih kurang RM8 bilion," katanya sewaktu perbahasan tersebut.
"Peliknya pula Tuan yang diPertua, surat permohonan Wijaya Baru ini diminitkan oleh Perdana Menteri pada 15 Mei 2006 pada pukul 10 pagi. Namun setelah 10 pagi diminitkan, 12 tengah hari yang sama telah dipanggil satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri meluluskan projek tersebut," katanya yang sangsi dengan tindakan kerajaan itu.
Sedangkan selama ini projek yang melibatkan ribuan jutaan ringgit, mengikut prosedurnya akan dilakukan secara tender terbuka dan bukannya secara rundingan terus seperti yang dilakukan PM, kata Ketua Pemuda PAS itu lagi.
Sebelum itu beliau menyentuh berhubung buku Pelan Integriti Nasional (PIN) yang memperlihatkan ada garis-garis besar atau dikatakan dasar-dasar yang mesti diikuti dalam memperuntukkan satu-satu projek yang dirasakan penting dan bernilai bilion ringgit ini supaya dapat dilaksanakan dalam bentuk yang nampak ketulusannya.
Tidak adil beri projek RM8 bilion pada satu syarikat
Katanya lagi yang bimbang projek RM8 billion ini akan menemui kegagalan yang hampir sama dengan SMART Tunnel yang walupun sudah siap pun tetapi tahkala hujan datang dalam keadaan yang tidak diduga masih gagal berfungsi dengan baik dan alasan kerajaan tidak boleh bergantung dengan satu projek sahaja.
"Ada tujuh projek lagi dan projek ini, semuanya bernilai hampir RM8 bilion dianugerahkan kepada Wijaya Baru Sdn Bhd sahaja.Saya ingin mendapatkan satu penjelasan daripada pihak kerajaan, adakah syarikat ini ada profilnya?
"Bolehkah dipertanggungjawabkan profilnya? Ini projek yang bernilai RM8 bilion. Kalau satu projek yang gagal bagimana?," katanya lagi.
Inilah yang dinamakan 'walk the talk', dan bercakap tentang 'tell me the truth' seperti yang dicanang PM selama ini maka apa yang didedahkan oleh Tan Sri Ambrin Buang dalam laporan audit negara, semuanya membuktikan tentang ketirisan, kebocoran, berlakunya ketidakadilan dan berlakunya ketidakseimbangan dalam pembahagian projek-projek ini.
"Kalau saya sebagai Ahli Parlimen daripada pihak pembangkang bercakap tentang perkara ini dianggap membangkang dan tidak ada kerja lain,asyik mencari kesalahan kerajaan.
"Tetapi apa yang saya sebutkan, semuanya dilaporkan secara umumnya dalam Laporan Audit Negara," katanya yang mahu kerajaan sentiasa mengamalkan apa jua dasar yang dilafazkan dan mempraktikkannya demi manfaat rakyat keseluruhannya.
Tambahnya lagi ini sudah tentu sangat besar kesannya terhadap implikasi yang sedang berlaku terhadap projek-projek besar dalam negara yang melibatkan bukan sedikit wang rakyat.
"Negara kita boleh 'collapse', negara kita boleh runtuh dengan sistem yang ada seperti ini," katanya lagi. - mks.
0 comments:
Post a Comment