Bertemu anak selepas 36 tahun terpisah

BALING: Sambutan Aidilfitri pada hari ke-12 kelmarin amat bermakna bagi seorang ibu berusia 60 tahun, selepas dipertemukan dengan anak perempuannya yang terpisah sejak 36 tahun lalu ketika berusia enam bulan.

Pertemuan penuh hiba antara Fatimah @ Virama Abdullah dengan anak kandungnya, Norina Mat Lihat, berlangsung di rumah Norina, di Kampung Keda Banggol Petai, di sini, malam kelmarin.

Fatimah berkata, dia terpisah dengan Norina yang ketika itu berusia enam bulan apabila bercerai dengan suaminya, Mat Lihat Jaafar yang berkahwin lain.


“Selepas berpisah, Norina diserahkan kepada keluarga sebelah bekas suami untuk dijaga, manakala saya dan Mat Lihat membawa haluan masing-masing dan sejak itu saya terputus hubungan dengannya.

“Saya tidak menafikan dalam tempoh 36 tahun, saya melakukan pelbagai usaha untuk mengesan Norina kerana amat rindukannya, terutama setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Namun saya bersyukur kerana Allah makbulkan juga doa saya untuk berjumpa dengannya sebelum saya menutup mata,” katanya sambil dipeluk erat oleh Norina.


Fatimah berkata, dia memeluk Islam ketika berusia 21 tahun dan berkahwin dengan Mat Lihat dan menetap di Kuala Selangor selama setahun.

Perkahwinannya dengan Mat Lihat adalah yang kedua dan dikurniakan seorang anak, manakala perkahwinan dengan suami pertama dikurniakan lima anak sebelum berpisah.

Selepas berpisah dengan Mat Lihat, dia berkahwin untuk kali ketiga dan dikurniakan dua anak lelaki dan kini tinggal di Selangor.

Fatimah berkata, pada Selasa lalu dia menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa dirinya Norina dan dia mengambil keputusan untuk datang ke sini untuk bertemu.

Sementara itu, Norina yang sudah berumah tangga dengan Haswari Che Din, 42, dan mempunyai tujuh anak berkata, dia dijaga oleh neneknya sehingga berusia 11 tahun sebelum tinggal dengan bapa saudara apabila neneknya meninggal dunia.

Katanya, dengan takdir Allah baru-baru ini abang tirinya berjaya menjejaki ibunya di Selangor.

“Saya amat gembira kerana maklumat yang diberikan itu betul sehingga membolehkan kami berjumpa selepas 36 tahun terpisah,” katanya.

0 comments: