Sat | Oct 27, 07 | 2:56:12 pm MYT
KUALA LUMPUR,27 Okt (Hrkh) - Setelah gunung didaki, lautan direnangi, kutub utara selatan dijejaki, keliling dunia dengan berbasikal dan kereta menjadi realiti malah lebih hebat angkasa lepas ditembusi demi mengharumkan nama negara, kini 'Projek Penerbangan Solo' keliling dunia masih menjadi tanda tanya dan misteri.
Akhbar-akhbar tempatan pada April dan Mei tahun ini telah melaporkan projek yang khabarnya bakal memecahkan tiga rekod dunia kerana penerbangan solo ini akan merentasi 7 benua dan 150 negara dalam masa 120 hari dan merupakan jarak paling jauh pernah dilakukan.
Berbanding rekod yaang pernah telah dilakukan kali pertama oleh Wiley Post pada tahun 1933 yang hanya berjaya 'terbang' mengeliling dunia sejauh 15,596 batu sahaja.
Projek yang bersejarah ini yang telah dimulakan kempennya sekitar 2004 sepatutnya telah disempurnakan oleh seorang juruterbang muda Mohd Fairuz Sakirin, 31, pada Julai lalu kini menimbulkan tanda tanya kerana misi ini masih tertangguh biarpun jumlah kutipan dana dan tajaan untuk projek ini telah pun mencecah RM11 juta.
"Setakat ini kita telah kumpulkan RM11 juta dan masih memerlukan RM9 juta bagi melaksanakan projek mengharumkan negara," kata Fairuz yaang dipetik daripada sebuah akhbar 24 Mei lalu dan jumlah keseluruhan misi ini adalah RM20 juta.
Ramai pihak bimbang sekiranya projek ini hanyalah sekadar mengaburi mata penaja atau orang ramai yang banyak menyumbang sedangkan ianya tidak dapat dilaksanakan secara realitinya.
Dilaporkan sehingga kini Fairuz yang juga merupakan bekas Presiden Kelab Pemuda Umno Melbourne, Australia (2000-2001) belum lagi menjalankan sebarang latihan bagi tujuan tersebut walaupun wang tajaan telah pun diperolehi sebahagiannya.
Abdullah jadi sudi penaung projek misteri
Ada pihak khuatir projek atas nama negara ini, akan disalah gunakan dan dieksploitasi oleh pihak lain di masa akan datang untuk mengaut keuntungan dalam masa yang cepat seperti yang berlaku dalam misi yang kini tinggal misteri.
Lebih mengejutkan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi juga 'berkenan' dan sudi menjadi penaung kepada projek ini berdasarkan surat pejabat Perdana Menteri kepada Fairuz bertarikh 19 Oktober 2004.
Dibimbangi imej Abdullah menjadi semakin buruk kerana dengan nama beliau jugalah, penyumbang-penyumbang serta penaja-penaja telah 'rela hati' mendermakan dana bagi menjayakan projek misi mengharumkan negara ini malah difahamkan pegawai-pegawai tinggi kerajaan juga turut terlibat dalam isu ini.
Siasatan segera dan badan pemantau haruslah ditubuhkan bagi menyelidiki projek yang menggunakan nama negara supaya tidak berlaku dan timbul unsur-unsur penyelewengan sama ada daripada wang penaja, kerajaan mahupun rakyat jelata bagi 'merealisasikan' impian pihak tidak bertanggunjawab di masa akan datang.
Pihak kerajaan juga sepatutnya mewujudkan satu tabung khas untuk Program Ekspedisi Misi Negara bagi mengawal perbelanjaan program-program atas nama misi mengharumkan nama negara. - mks.
0 comments:
Post a Comment