Keluarga Yoke Shan ingin tahu jumlah pampasan

KLANG 26 Okt. – Keluarga Lai Yoke Shan hari ini meminta kerajaan menjelaskan secara terperinci mengenai jumlah pampasan dan bantuan perubatan yang akan diterima oleh bayi perempuan mereka yang kehilangan tangan kirinya akibat tersalah suntik pada Julai lalu.

Menurut bapa Yoke Shan, Lai Kian Kee, 24, beliau dan keluarganya mahu kerajaan memberi penjelasan tersebut secara hitam putih kerana setakat ini surat yang diterimanya tidak menjelaskan secara terperinci tentang apa yang akan diterima oleh Yoke Shan kelak.

“Kami memang lega kerana dapat surat yang mengatakan cadangan untuk membayar pampasan dan lain-lain bantuan perubatan telah dibuat oleh jawatankuasa yang diwujudkan Kementerian Kesihatan.

“Bagaimanapun surat dari pejabat penasihat undang-undang Kementerian Kesihatan itu memberitahu yang buat masa ini jumlah bayaran dan faedah perubatan itu masih belum ditentukan kerana perlu mendapat nasihat dan persetujuan Jabatan Peguam Negara dan Perbendaharaan.

“Penjelasan itu membuat kami bimbang kerana ia mungkin memakan masa yang lama dan Yoke Shan pula semakin membesar dan perlukan perbelanjaan dan rawatan yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Kian Kee, pihaknya juga masih ada rasa tidak puas hati kerana sehingga kini tiada permintaan maaf daripada doktor atau pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian yang menimpa Yoke Shan.

“Kami bukan meminta lebih, tetapi apa yang sepatutnya,” kata Kian Kee lagi.

Ditanya mengenai kesihatan Yoke Shan, Kian berkata, anak perempuannya yang kini berusia tiga bulan semakin sihat dan kali terakhir dia menjalani pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) ialah pada 10 Oktober lalu.

Ujarnya, Yoke Shan yang beratnya kini hampir mencecah empat kilogram akan menjalani pemeriksaan lanjut pada 11 November ini.

0 comments: