Malaysia punya ciri negara polis atau komunis?

Azamin Amin
Sat | Oct 27, 07 | 6:14:48 pm MYT

Tembakan peluru hidup ke arah orang ramai yang berhimpun, menghayun belantan kepada rakyat yang membantah kenaikan harga minyak dan tol,menyepak terajang juga membelasah penduduk tertindas serta setinggan dan menyumbat hidup-hidup tanpa bicara individu tertentu ke kem Tahanan kejam ala Guatanamoa Bay adalah sisipan contoh yang menimbulkan tanda-tanya umum sama ada Malaysia ini mempunyai ciri sebagai negara polis ataupun komunis?

Secara mudahnya negara polis boleh diertikan sebagai sebuah negara yang 'terlalu' menitikberatkan persoalan keselamatan dalam perjalanan pentadbirannya dan hakikatnya ialah cuba memastikan kelangsungan survival politik parti Umno dan Barisan Nasional di negara ini.

Kelangsungan parti pemerintah dikuatkan pula dengan pengurusan operasi pegawai Cawangan Khas (SB) yang begitu ramai dalam perkhidmatan polis dan peranannya semakin dicurigai malah dilihat sebagi 'alat' oleh parti pemerintah khususnya Umno untuk merisik dan mencetuskan suasana tidak senang di kalangan rakyat terutamanya yang menyokong pihak pembangkang.

"Sepanjang pemerintahan Umno, SB tidak ubah seperti polis politik yang digerakkan oleh ahli politik kerajaan," kata bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Saari Sungib.

"Mereka mengancam rakyat tetapi mereka juga menghasut rakyat. Dari sesi soal siasat saya semasa saya di Kem Tahanan Kamunting, saya difahamkan mereka menerima arahan daripada sayap Umno tertentu," katanya yang ditahan pada April 2001 selepas dituduh menggunakan cara militan untuk menjatuhkan kerajaan.

Ramai pihak menggesa supaya peranan SB dikaji semula dan ada antaranya mahu dibubarkan.

Peranan Polis cawangan khas mesti dibubarkan

"Saya menyeru supaya Cawangan Khas dibubarkan. Keganasan mereka semakin tidak terkawal," kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan, S. Manickavasagam yang dipetik daripada Suara KeADILan.

"Kerajaan kata peranan SB ialah risikan keselamatan, kenapa pula kacau di ceramah? Mereka menjadi duri dalam daging di setiap perhimpunan aman, persoalannya ialah apa sebenarnya tugas mereka?" soalnya lagi merujuk insiden yang berlaku di Batu Burok Kuala Terengganu.

Peranan SB sering dipersoalkan selepas tamatnya konfrantasi komunis di negara ini pada 12 Julai 1960, lalu semenjak itu, campur tangan sayap perisikan polis itu dalam perkembangan politik negara sering menjadi sasaran kritikan dan kecaman aktivis politik tanahair.

Mengikut Saari, SB-SB berjumlah sekitar 20,000 ke 30,000 ini bergerak secara rahsia, terdiri dari pelbagai jantina dan kepakaran, memantau pergerakan individu dan kumpulan yang dianggap boleh membawa masalah keselamatan.

Menurut kajian dan pandangan bekas pensyarah sains politik, Universiti Kebangsaan Malaysia Wan Abdul Rahman Wan Abd Latif bahawa pemantauan SB begitu terperinci seperti tempat yang selalu dikunjungi oleh individu/kumpulan yang dimaksudkan, bahan bacaan yang dibaca, program televisyen yang diminati, laman web yang dilawati, surat-menyurat juga diteliti, perbualan telefon termasuk telefon bimbit dirakam, e-mail dan SMS dipantau.

"Malah secara umumnya tingkah-laku, cara hidup dan cara berfikir individu dipantau. Kadang-kadang saya terfikir, apa yang dibuat oleh individu berkenaan dalam tandas pun dipantau!" katanya dalam satu tulisannya dalam Harakahdaily.net

Beliau menambah aspek keselamatan dalam negara diburukkan lagi dengan wujudnya pelbagai Akta yang mengikat kebebasan asasi warganegara antaranya hak untuk bersuara, berpersatuan, untuk berdemonstrasi secara aman di kalangan ahli akademik dan pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi misalnya semakin terhakis dengan wujudnya ISA, AUKU dan Akujanji yang katanya mengakibatkan hilangnya pemikiran kritis dan kreatif di kalangan pensyarah dan pelajar serta rakyat amnya.

Biarpun begitu, akta zalim ISA yang menindas rakyat Malaysia selama ini telah pun diadili dan 'dimalukan' apabila Keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi RM2.5 juta kepada Malek Hussin, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dalam satu kes yang cukup bersejarah dalam konteks perjuangan menentang akta tersebut.

Negara komuniskah kita?

Hakim Dato' Mohd Hishamuddin Mohd Yunus mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi kepada Malek kerana penahanan salah 57 hari di bawah ISA dan dicederakan pada September 1998.

Bagaimanapun blog ketuaperusuh.wordpress.com pula beranggapan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara komunis terkawal berdasarkan beberapa fakta.

Antara ialah semua keputusan yang dibuat oleh pimpinan negara (walaupun tidak praktikal atau munasabah) adalah muktamad dan tidak perlu dipersoalkan.

"Perbincangan secara terbuka mengenai kuasa pimpinan tidak dibenarkan.Mana-mana pihak yang mempersoalkannya boleh diklasifikasikan sebagai membahayakan keselamatan negara dan boleh ditahan dibawah ISA atau Akta Hasutan. Semua Negara Komunis menggunakan kaedah ini," kata blog ini.

Blog ini juga turut menyamakan akta tanah di Malaysia dengan negara komunis apabila kerajaan boleh secara sewenangnya mengubah mana-mana status tanah atau menghalau mana-mana penduduk di atas tanah tersebut tanpa perlu membayar apa-apa pampasan kerana termaktub dalam Kanun Tanah Negara 1966 yang diperbaharui pada 1996.

Ini termasuk dengan akta polis yang menyamai kaedah negara komunis apabila setiap demontrasi atau perhimpunan awam perlulah mendapatkan Permit Polis.

"Mana-mana perhimpunan yang tidak mendapat permit perlulah diselesaikan oleh FRU dan Polis secara keras. Permit tidak perlu jika perhimpunan awam tersebut dilakukan oleh Barisan Nasional atau sekutunya. Semua Negara Komunis menggunakan kaedah ini," kata blog itu.

Tambah blog itu lagi negara komunis biasanya mempunyai Parlimen yang tidak ada kuasa untuk menyiasat Perdana Menteri atau mana-mana Menteri atas tuduhan rasuah atau salahguna kuasa sama seperti yang berlaku di Malaysia.

Justeru sama ada negara ini merupakan sebuah negara polis, komunis atau demokrasi, maka biarlah ditentukan dan dihukum oleh rakyat dipeti undi! - mks.

0 comments: