Kerugian kebakaran di California RM5.44b



SEPERTI ZON PERANG: Helikopter Marine One membawa Presiden Amerika Syarikat George W Bush, meninjau sebahagian kediaman yang musnah akibat kebakaran hutan di Rancho Bernardo, California, semalam.

LOS ANGELES: Kebakaran hutan di California memusnahkan kawasan seluas 2,072 kilometer persegi ketika sebuah firma risiko menganggarkan nilai tuntutan insurans akibat bencana itu berjumlah antara AS$900 juta hingga AS$1.6 bilion (RM3.06 bilion hingga RM5.44 bilion).

Pihak berkuasa juga menemui enam lagi mayat rentung kelmarin, menjadikan angka korban mencecah 14 orang. Lebih 60 yang lain cedera, kebanyakannya anggota bomba.

Mayat ditemui di tengah-tengah kenyataan bomba yang mendakwa dapat mengawal bencana itu, manakala pihak berkuasa memulakan usaha menilai kerugian sebenar kejadian berkenaan.


Sejumlah 20 kebakaran masih berlaku di sekitar selatan California yang masuk hari keenam semalam, biarpun 8,000 anggota bomba dikatakan dapat mengawal keadaan dan tiada lagi rumah yang disifatkan berada di laluan api yang marak itu.

Ada di antara penduduk kehilangan rumah dan harta benda dalam kejadian itu, manakala sebahagian besar daripada 500,000 penduduknya terpaksa melarikan diri dalam usaha pemindahan terbesar California, mula kembali ke rumah masing-masing.

Selain cuaca panas dan angin menjadi faktor memburukkan lagi kebakaran, sekurang-kurangnya tiga kes perbuatan khianat dilaporkan setakat ini.

Agensi Pengurusan Bencana Persekutuan yang dikecam hebat kerana caranya menangani bencana Taufan Katrina pada 2005, mengerah sehingga 1,000 anggotanya bertugas di sekitar selatan California.

Selain itu, agensi tempatan dan Persekutuan lain turut mewujudkan pusat sehenti bagi membolehkan mangsa yang kehilangan rumah dan harta benda, memohon bantuan kewangan dan perkhidmatan yang diperlukan sementara mereka memulakan kehidupan baru.

Gabenor Arnold Schwarzenegger, yang mengiringi lawatan Presiden George W Bush, ke kawasan bencana kelmarin, mendapat pujian kerana langkahnya menangani tragedi berkenaan yang disifatkan sebagai antara yang terburuk dalam sejarah California.

Bencana itu turut memusnahkan 2,000 rumah dan kerugian di kawasan San Diego saja dijangka mencecah lebih AS$1 bilion (RM3.37 bilion).

Seorang mangsa, Steve Conner, 62, yang menyaksikan kediamannya menjadi antara 30 rumah yang musnah dijilat api di pinggir San Diego, sempat mengimbau detik cemas melihat kehilangan rumahnya dan jiran.

"Apa yang berlaku sememangnya sukar dipercayai," kata veteran Perang Vietnam itu.

"Semuanya musnah dalam sekelip mata, pokok menjadi rentung. Ia mengingatkan saya kepada apa yang pernah dialami ketika di Vietnam. Keadaan tidak ubah seperti di zon perang," katanya. – Reuters

0 comments: