PM marah -- Insiden 2 anggota polis mati ditembak penjenayah di Sungai Buloh

Oleh: HAIRULAZIM MAHMUD dan ZULKIFLI MANZOR


PILU...Isteri Lans Koperal J. Jaya Balan, V. Malini meratapi kematian suaminya yang ditembak penjenayah ketika serbuan antidadah di sebuah rumah di Sungai Buloh, Selangor, kelmarin. Gambar kecil, J. Jaya Balan dan Lans Koperal M. Alagesan (kanan).- Gambar ZHAFARAN NASIB.

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Polis akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti sama ada serbuan antidadah di sebuah rumah di Sungai Buloh malam tadi yang menyebabkan dua anggotanya mati ditembak penjenayah, dibuat mengikut prosedur atau sebaliknya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, antara perkara yang diteliti dalam siasatan itu termasuk aspek pemakaian baju kalis peluru dan siapa komandan yang memberi arahan.

“Saya kena jalankan pemeriksaan terlebih dahulu. Ini termasuk siapa komandan yang beri arahan dan banyak perkara lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Hari Masyarakat Bersama Polis 2007 di Balai Polis Sungai Besi di sini, hari ini.

Di Pulau Pinang, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi marah dan kecewa dengan insiden tersebut.

Sambil mengakui penjenayah kini semakin berani bertindak balas terhadap pihak berkuasa, beliau yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri mahu polis menggunakan strategi yang betul setiap kali operasi dilakukan selepas ini bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.

Beliau berkata, kumpulan yang mengendalikan operasi antidadah itu sepatutnya menghubungi pasukan lain terlebih dahulu sebelum bertindak supaya strategi yang sesuai dapat diatur bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Apa yang dimaklumkan kepada saya oleh Musa, sepatutnya sebelum mereka membuat serbuan mereka maklumkan kepada pihak-pihak polis sendiri supaya diadakan satu strategi mengepung dan cara-cara yang lain untuk mengelak apa yang berlaku.

“Tapi dia punya pendekatan itu tak kena. Kalau dibuat dengan betul dan dapatkan bantuan skuad-skuad tertentu, maka dapat kepung dan gunakan pembesar suara bagi tahu yang polis mengepung dan minta mereka keluar, maka tentulah pihak polis bersedia,” tambahnya.

Tegas Perdana Menteri, penjenayah itu pasti akan melakukan apa sahaja untuk meloloskan diri kerana jika mereka ditangkap dan disabitkan kesalahan, mungkin menghadapi hukuman mati.

‘‘Kalau pergi serbu begitu sahaja memanglah orang yang terlibat itu akan ditangkap dan jika disabitkan kesalahan mungkin akan dihukum bunuh. (Jadi) tentulah mereka nak hidup, maka dia melakukan tindakan menembak polis untuk membolehkan dia melepaskan diri.

‘‘Saya diberitahu oleh Musa (mengenai kejadian ini). Saya rasa marah juga bila jadi begitu dan pihak dia bagi jaminan kepada saya akan berusaha bersungguh-sungguh supaya mereka yang terlibat melakukan pembunuhan secara menembak itu dapat ditangkap segera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hospital Kepala Batas dan Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) hari ini.

Dalam kejadian pukul 7 malam tadi, dua anggota polis terbunuh dan dua lagi parah ditembak sekumpulan penjenayah lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, yang dipercayai menjadi tempat menyimpan dadah.

Anggota polis yang terbunuh ialah Lans Koperal J.Jaya Balan dari Jabatan Narkotik Gombak dan Lans Koperal M. Alagesan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Dua anggota polis yang cedera pula ialah Cif Inspektor R. Rajakumar dari Cawangan Siasatan Jenayah Komersial dan Cif Inspektor Helmi Zakaria dari Jabatan Narkotik Gombak.

Menjawab soalan pemberita, Musa menjelaskan, serbuan itu dijalankan oleh satu pasukan khas yang selalunya boleh melibatkan pelbagai unit dalam pasukan polis.

Ditanya kenapa anggota terbabit tidak memakai baju kalis peluru, beliau berkata, polis menghadapi masalah kekurangan baju kalis peluru ketika ini.

Tambah Musa, pada masa ini hanya anggota serta pegawai yang menjalankan tugas berbahaya sahaja dibekalkan baju itu.

Menurutnya, polis tidak mampu menyediakan baju kalis peluru bagi setiap pegawai dan anggota yang bertugas pada ketika ini kerana ia memerlukan belanja besar.

Musa berkata, polis bagaimanapun akan memohon kepada kerajaan untuk menambah jumlah baju kalis peluru bagi kegunaan pasukan itu terutama yang bertugas di bahagian rondaan.

“Kita akan memohon kepada kerajaan supaya pasukan polis dapat dibekalkan baju kalis peluru terutama untuk anggota yang menjalankan tugas-tugas berbahaya,” katanya.

Isu kekurangan baju kalis peluru pernah dibangkitkan pada 2004 berikutan kejadian seorang koperal polis, Manja Manaf, 42, mati ditembak perompak di sebuah rumah di Taman Maharani, Jalan Haji Taib, Muar, Johor.

Sementara itu, ditemui selepas majlis perasmian Mesyuarat Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di ibu negara, Musa yang diminta mengulas komen Perdana Menteri bahawa kejadian itu boleh dielakkan jika polis mengambil strategi yang lebih berkesan berkata:

“Itu komen Perdana Menteri, biarkanlah... Saya tak mahu masuk campur dalam hal-hal politik,” katanya.

0 comments: