Gerakan besar-besaran buru penjenayah tembak polis

SUNGAI BULOH 26 Okt. – Polis menemui cap jari dan bahan bukti lain termasuk gambar, peluru hidup, kelongsong peluru serta alat membungkus dadah di rumah teres tempat dua anggota polis maut ditembak sekumpulan penjenayah di Kampung Desa Aman di sini malam tadi.

Gambar-gambar tersebut dipercayai wajah penjenayah yang terlibat dalam kejadian tembak-menembak dengan pasukan polis kira-kira pukul 7 malam tadi.

Pakar forensik yang membuat siasatan di lokasi kejadian sejak pagi ini menemui dua peluru hidup jenis revolver .38 di dalam rumah yang dipercayai disewa itu dan juga tiga kelongsong peluru jenis yang sama di depan rumah itu.

Jabatan Forensik yang menyiasat sejak semalam sehingga tengah hari tadi di sekitar kawasan kejadian juga menemui beberapa perlatan membungkus dadah dan pelbagai jenis alat kelengkapan bayi dipercayai milik anak suspek.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati tiada jiran yang tinggal di kiri dan kanan rumah teres dua tingkat yang didiami suspek dengan satu daripada rumah itu tertulis ‘untuk dijual’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christoper Wan yang ditemui pemberita ketika melawat lokasi kejadian berkata, polis akan melancarkan gerakan besar-besaran melibatkan semua unit untuk memburu suspek yang terlibat.

“Kita percaya kejadian itu melibatkan dua hingga enam orang suspek.

“Polis jumpa banyak cap jari di rumah berkenaan dan data berkaitan suspek sedang dikumpul dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

Menurut Christoper, pihaknya tidak mahu siasatan polis terganggu kerana kejadian baru berlaku dan 24 jam pertama adalah tempoh kritikal buat pasukan polis.

“Kita tidak boleh dedahkan banyak perkara kerana siasatan masih berjalan lebih-lebih lagi ia melibatkan nyawa anggota polis,” jelasnya.

Sebelum itu, ketika melawat jenazah mendiang Lans Koperal J. Jaya Balan yang terbunuh dalam kejadian di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Christoper menyifatkan kejadian ini sebagai satu jenayah ganas.

“Namun kegiatan ini tidak mematahkan semangat kami sebaliknya akan terus berjuang menghapuskan penjenayah yang terlibat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata, suspek baru tinggal di rumah berkenaan dengan enam penghuni iaitu sepasang suami isteri, dua lelaki dewasa dan dua kanak-kanak dipercayai anak kepada pasangan suami isteri tersebut.

"Keluarga mereka tidak bergaul dengan jiran dan jarang kelihatan pada waktu siang," katanya yang tidak tahu pekerjaan mangsa.

Dalam pada itu, suasana sedih menyelubungi pekarangan Rumah Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini ketika ahli keluarga mangsa menuntut mayat kedua-dua anggota polis yang terbunuh itu.

Mayat Lans Koperal M. Alagesan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dituntut isterinya, S. Kalaivanidan, 34, kira-kira pukul 2 petang untuk dibawa menjalani upacara keagamaan di rumahnya di Jalan Belatok 1, Bandar Puchong Jaya.

Selepas itu, mayat mangsa dibawa ke pusat pembakaran mayat di Jalan Kuari, Cheras di sini untuk menjalani upacara pembakaran mayat kira-kira pukul 4 petang.

Mayat Jaya Balan dari Jabatan Narkotik IPD Gombak pula dituntut isterinya, V. Malini, 30, pada pukul 2.30 petang sebelum dibawa ke kuarters IPD berkenaan bagi membolehkan rakan-rakan dan pegawai atasan pasukan polis memberi penghormatan terakhir.

Mayat kemudiannya dibawa pulang ke rumah ibu bapa mangsa di Tebong, Alor Gajah, Melaka untuk upacara pembakaran mayat.

Sementara itu, di Hospital Sungai Buloh, di sini, dua lagi anggota yang cedera ditembak dalam kejadian itu, Cif Inspektor Helmi Zakaria dan Cif Inspektor R. Rajakumar masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Helmi ialah pegawai dari Cawangan Narkotik di IPD Gombak manakala Rajakumar dari Cawangan Jenayah Komersial IPK Selangor.

Pihak media bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki kawasan wad untuk mengambil gambar dan menemu bual waris mangsa.

Selain ahli keluarga dan sanak saudara, antara yang melawat kedua-dua mangsa ialah Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

0 comments: