Oleh Fazli Abdullah dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
KEPALA BATAS: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk menaikkan kadar tarif elektrik, walaupun harga bahan bakar terus meningkat, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
“Kita belum tetap apa-apa lagi,” kata Perdana Menteri sambil mengakui Tenaga Nasional Bhd (TNB) menghadapi tekanan berikutan kenaikan harga minyak dan gas di pasaran.
“Itu (kenaikan harga bahan bakar) adalah satu perkara yang memberi tekanan dan sangat dirasai oleh TNB,” katanya.
Abdullah berkata demikian selepas merasmikan Hospital Kepala Batas (HKB) dan Unit Rawatan Tradisional dan Komplementari hospital itu di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Soi Lek dan timbalannya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
Beliau mengulas laporan akhbar kerajaan mungkin tidak mempunyai tiada pilihan, selain menaikkan tarif elektrik berikutan kenaikan berterusan harga bahan bakar termasuk minyak, gas dan arang batu.
Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, dilaporkan berkata, TNB menanggung kos operasi yang tinggi berikutan itu dan sudah menghantar cadangan kepada kerajaan berhubung kenaikan kadar tarif elektrik.
Mengenai kontrak perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang akan tamat tidak lama lagi, Perdana Menteri berkata:
“Belum ada apa-apa lagi dan saya tidak akan membincangkan perkara itu secara terbuka.”
Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah berkata, keputusan kerajaan memperkenalkan perubatan tradisional dan komplementari (TCM) di hospital kerajaan adalah satu pengiktirafan kepada amalan itu yang diwarisi sejak turun-temurun.
Katanya, perubatan tradisional yang menjadi amalan masyarakat pelbagai kaum di negara ini juga diamalkan di negara lain, termasuk negara maju.
“Perubatan ini mempunyai peranannya dan apa yang kita lakukan sekarang ialah memberi pengiktirafan kepadanya serta digunakan secara integrasi dengan perubatan moden,” katanya.
Abdullah berkata, walaupun perubatan moden berkembang pesat, perubatan tradisional tidak diketepikan, malah boleh dikembangkan kerana Malaysia kaya dengan pelbagai pokok herba yang berkhasiat.
“Pasaran produk herba mencecah RM1 bilion dan sebagai sebuah negara yang kaya dengannya, mengapa tidak dilakukan penyelidikan dan pembangunan secara aktif supaya produk itu dapat dijadikan satu industri baru,” katanya.
Sementara itu, Abdullah menunaikan solat Jumaat di Masjid Melayu, Lebuh Acheh, bersama lebih 1,000 jemaah, diikuti makan tengah hari di pekarangan masjid itu.
0 comments:
Post a Comment