Oleh Haika Khazi
PUTRAJAYA: Kerajaan Terengganu akan menubuhkan sebuah sekretariat bagi memantau dan memastikan rancangan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Terengganu berjalan lancar.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata tujuan utama penubuhan sekretariat terbabit adalah untuk memperincikan dengan jelas mengenai pengisian dan pelaksanaan ECER di Terengganu.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sudah mengenal pasti nama mereka yang dilantik menjadi anggota sekretariat terbabit.
"Usaha ke arah penubuhan sekretariat terbabit sedang berjalan... orang sudah ada, cuma kita belum mengumumkan. Kita akan umumkan nama mereka selepas mendapat persetujuan Exco pada mesyuarat yang diadakan minggu ini," katanya pada sidang media selepas sesi taklimat ‘Terengganu Review 2007’, di sini, semalam.
Majlis berkenaan dihadiri lebih 500 anak Terengganu yang kini menetap di Selangor dan Wilayah Persekutuan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar.
Rancangan ECER yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini membabitkan pelaksanaan 227 projek bernilai RM112 bilion dalam tempoh 12 tahun, adalah wilayah pembangunan ketiga dilancarkan Perdana Menteri, tahun ini selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Petronas adalah perancang utama pelan ECER meliputi kawasan 66,736 kilometer persegi atau 51 peratus daripada keluasan Semenanjung.
Mengikut rancangan ECER, Terengganu dibangunkan sebagai gerbang pelancongan dan pendidikan selain dapat mengembang dan memperhebatkan industri minyak dan gas; Kelantan sebagai pusat perdagangan dan pembangunan modal insan, manakala Pahang sebagai hab industri pembuatan dan logistik.
Antara projek ECER yang bakal dilaksanakan di Terengganu termasuk menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu sebagai lapangan terbang antarabangsa; pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di muara Sungai Terengganu dan banyak lagi.
Idris berkata, walaupun rancangan ECER masih pada peringkat awal, namun banyak pelabur asing terutama dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara lain menunjukkan minat melabur.
Beliau berkata, pihaknya memang mengalu-alukan kemasukan pelabur asing untuk melabur dalam rancangan ECER di Terengganu.
"Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkan secara terperinci kerana belum menerima maklumat mengenainya daripada Petronas sebagai perancang utama ECER.
"Sehubungan itu, kita mahu menubuhkan sekretariat supaya mereka dapat memberikan maklumat dan laporan terkini mengenai perkembangan ECER dari semasa ke semasa," katanya sebagai permulaan sekretariat berkenaan mungkin akan membuat laporan kepada kerajaan negeri sekali seminggu.
0 comments:
Post a Comment