Oleh Hamdan Saaid
MALDIVES AIBKAN SKUAD SUKA SEA: Penyerang Malaysia, Safee Sali (kiri) menguasai bola ketika dicabar pemain Maldives, Sabah Mohamed Ibrahim pada perlawanan persahabatan di Stadium Petaling Jaya, petang semalam. Malaysia tewas 1-0. |
JIKA Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin menyatakan minggu lalu bahawa pasukan Bawah 23 Tahun negara belum bersedia sepenuhnya untuk menghadapi temasya Sukan Sea XXIV Korat bulan depan, jelas ada kebenarannya pendapat beliau itu.
Apa tidaknya, semalam skuad negara mencatat keputusan mengaibkan apabila kecundang 0-1 kepada Maldives - pasukan yang berada di ranking ke-174 dunia - pada perlawanan persahabatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Tanpa ketua jurulatih, B Sathianathan yang mengintip kekuatan Vietnam di Hanoi, pasukan negara dikendalikan penolongnya, Zaki Sheikh Ahmad yang nyata agak terkilan apabila ditanya apakah pelajaran berguna diraih daripada perlawanan itu.
"Ini bukannya masa untuk belajar lagi. Bagi saya, ini adalah masa untuk membuktikan apa yang dipelajari sebelum ini digunakan sepenuhnya. Sayangnya mereka tidak menggunakan peluang yang dicipta manakala lawan menggunakan peluang mereka sebaik mungkin.
"Kami menguasai perlawanan tetapi mereka tidak boleh menjaringkan gol," kata Zaki.
Selepas separuh masa terikat tanpa jaringan, Maldives memecah kebuntuan dua minit babak kedua berlangsung menerusi tandukan ketua pasukan Assad Abdul Ghani hasil sepakan sudut menewaskan penjaga gol Malaysia, Syed Adney Syed Hussein.
Berita lebih buruk buat skuad Sathia, mereka yang dijadualkan bertemu pasukan Olimpik Botswana dan B-23 Indonesia minggu depan dalam persiapan terakhir sebelum ke Korat, hanya boleh bermain menentang B-23 Indonesia sesudah Botswana menarik diri kerana menghadapi masalah dengan ejen mereka.
Perlawanan dengan Botswana sepatutnya dilangsungkan Rabu depan manakala dengan B-23 Indonesia pada 26 November.
"Tanpa Botswana, ini tidak bagus bagi persiapan skuad ini. Kami sudah terlepas dua perlawanan persahabatan kompetitif dan ia memang tidak bagus buat pasukan," kata Zaki selepas sebelum ini pasukan kebangsaan Yemen turut gagal hadir bagi perlawanan persahabatan Rabu lalu.
0 comments:
Post a Comment