Orang Asli kecewa dianggap malas kerja

LOJING 17 Nov. – Dua pemimpin Orang Asli di Pos Brooke di sini melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan seorang anggota Exco kerajaan negeri Kelantan yang menganggap masyarakat itu malas bekerja.

Ketua masyarakat Orang Asli Pos Brooke, Rashid Akop, berkata, tuduhan demikian memalukan mereka sedangkan mereka mengharapkan kerajaan membantu masyarakat itu dengan menyediakan tapak untuk pertanian.

“Sampai sekarang masyarakat Orang Asli tidak diberi peluang berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Desa Negeri, Dr. Nik Mazian Nik Mohamad yang mendakwa ada kawasan pertanian diberikan kepada orang luar kerana tiada rakyat tempatan yang berminat manakala Orang Asli di kawasan berkenaan malas untuk bekerja di ladang pertanian.

“Kalau kami malas, adakah kerajaan negeri telah mencuba dengan memberi peluang kami bercucuk tanam,” kata Rashid.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak boleh menuduh sembarangan terhadap masyarakat Orang Asli kerana mereka jelas ketinggalan dalam segenap perkara.

“Sebagaimana juga orang Melayu yang tidak tahu bercucuk tanam, kami juga perlu diberi peluang untuk melakukannya,” katanya.

Seorang lagi pemimpin masyarakat Orang Asli di situ, Tok Batin Malu, berkata, beliau bimbang dakwaan oleh anggota Exco itu akan dijadikan ejekan kepada Orang Asli.

Beliau berkata, kerajaan negeri sepatutnya memberi peluang dengan mengajar mereka bercucuk tanam menggunakan teknik moden.

– Bernama

0 comments: