Terengganu tubuh sekretariat khas laksana ECER

PUTRAJAYA 17 Nov. – Kerajaan Terengganu akan mewujudkan satu sekretariat khas bagi memastikan pelaksanaan pelan pembangunan Wilayah Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjalan lancar sebelum hujung bulan ini.

Menteri Besarnya, Datuk Idris Jusoh berkata, sekretariat tersebut akan berperanan untuk mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pelabur tempatan atau luar negara yang berpotensi.

Beliau berkata, ia juga akan memantau secara terperinci terhadap projek yang bakal dilaksanakan.

‘‘Dengan adanya sekretariat itu, pembangunan ECER bukan hanya berjalan dengan lancar tetapi juga faedahnya dapat dinikmati oleh semua rakyat negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Terengganu Review 2007, di sini hari ini.

Idris memberitahu, buat permulaan, sekretariat yang bakal dianggotai oleh wakil agensi kerajaan negeri dan swasta itu akan melaporkan setiap aktiviti mereka kepada kerajaan negeri pada setiap minggu.

Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri melahirkan keyakinan Piala Monsoon yang akan diadakan pada hujung bulan ini mampu menjana pertumbuhan ekonomi negeri sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu.

0 comments: