CUEPACS bantah laksana VSS

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah cadangan kerajaan negeri Selangor untuk melaksanakan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) kepada kakitangan awam yang menunjukkan perkhidmatan lemah.

Presidennya, Omar Osman berkata, ini kerana kakitangan awam tertakluk kepada perintah am dan peraturan khusus mengenai sesuatu perkara termasuk pemberhentian kerja yang tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

‘‘Dulu bagi penyapu, sekarang nak kena berhenti kerja. Kedua-dua cara ini tidak membantu meningkatkan prestasi kerja kakitangan kerajaan,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Kelmarin, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mengumumkan bahawa, kerajaan negeri Selangor tidak akan memberi penyapu lagi sebagai anugerah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal memperoleh tahap pencapaian minimum pada tahun hadapan, sebaliknya akan mengarahkan para pegawai atasan PBT berkenaan melepaskan jawatan masing-masing.

Mohamad Khir berkata, kerajaan akan mengarahkan mereka supaya bersara awal atau mengambil VSS.

Omar berkata, kerajaan negeri harus mengambil tindakan profesional untuk memberi peringatan kepada agensi yang tidak cemerlang.

Menurut beliau, seseorang akan bersara awal jika mempunyai masalah peribadi atau masalah kesihatan.

‘‘Kerajaan tidak boleh mengarahkan seseorang supaya bersara awal jika prestasinya kurang cemerlang,’’ ujarnya.

0 comments: