Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
PETALING JAYA – Skuad bola sepak bawah 23 tahun Malaysia yang bakal ke Sukan SEA Korat, bulan depan, menerima tamparan hebat selepas perlawanan persahabatan dengan Maldives di Stadium Petaling Jaya, semalam berkesudahan dengan tewas 0-1.
Mereka bukan sahaja kalah kepada skuad kebangsaan Maldives dengan jaringan Assad Abdul Ghani bahkan kehilangan satu lagi perlawanan persahabatan, Rabu ini dengan menentang skuad Olimpik Bostwana yang membatalkannya atas sebab tertentu.
Persediaan fasa akhir skuad bimbingan B. Sathianathan ke Sukan SEA bakal terjejas dengan berita terbaru ini selepas skuad kebangsaan Yemen turut membatalkannya Rabu lalu pada saat akhir kerana tidak mendapat penerbangan ke sini.
Kini hanya tinggal skuad bawah 23 tahun Indonesia menjadi ujian terakhir Malaysia di stadium yang sama pada 26 November ini sebelum mereka mengharungi persaingan Kumpulan B di Korat dengan Vietnam, Singapura dan Laos mulai 1 Disember.
Semalam, skuad negara yang dilatih sementara oleh Zaki Sheikh Ahmad dan menurunkan sebahagian besar barisan utama, menunjukkan penguasaan perlawanan dengan memiliki lima percubaan yang sepatutnya mampu menghasilkan gol.
Namun, Malaysia masih kempunan gol daripada rembatan Safee Sali pada minit ketiga dan 75, Zaquan Adha Radzak (29), Amirulhadi Zainal (76) dan Khyril Muhymeen Zambri (83) yang kesemuanya akibat hadangan baik penjaga gol Maldives, Hassan Rameez.
Dibimbing jurulatih Slovakia, Jozef Jankech, Maldives bagaimanapun menyambar gol tunggal menerusi sepakan sudut pada minit ke-47 apabila Assad yang dibiarkan bergerak bebas benteng Malaysia, menanduk masuk menewaskan Syed Adney Syed Hussein.
Malaysia masih gagal mengambil kesempatan biarpun Maldives yang disekat Yemen dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia, baru-baru ini, bermain dengan 10 orang kerana pemainnya, Sabah Mohamed Ibrahim dilayangkan kad merah pada minit ke-53.
Kata Zaki pada sidang akhbar selepas perlawanan: ‘‘Kami sepatutnya menyambar banyak peluang itu apatah lagi menguasai perlawanan tetapi saya tidak nampak bermain sebelah petang menjadi salah satu punca kegagalan ini. Pemain hanya gagal menjaringkan gol.
‘‘Pembatalan perlawanan dengan Bostwana pula bukan satu berita baik bagi pasukan selepas gagal menentang Yemen. Ia menjejaskan persediaan kami ke Sukan SEA dan mengurangkan kemampuan untuk terus menguji pasukan.’’
MALAYSIA: Syed Adney Syed Hussein (Farizal Marlias), S. Subramaniam, Bunyamin Umar (Norshahrul Idlan Talaha), Zaquan Adha Radzak (Safiq Rahim), Khyril Muhymeen Zambri, Daudsu Jamaludin (Chun Keng Hong), Syamsol Sabtu, Safee Sali, Sumardi Hajalan, Amirulhadi Zainal, Azi Shahril Azmi (Nor Farhan Muhammad).
0 comments:
Post a Comment