MELAKA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta mempertahankan pengesahan logo halal yang dikeluarkannya sebagai piawaian mutlak milik negara dan jenama yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, ketika ini ada beberapa negara cuba menjadikan logo berkenaan milik mereka, sekali gus memberi impak negatif terhadap industri produk halal khususnya kepercayaan serta keyakinan orang ramai.
"Kekeliruan ini jika tidak diatasi segera akan merugikan kita kerana masyarakat dunia melihat seolah-olah tiadanya kesepakatan di kalangan negara Islam dalam memberi pengiktirafan produk halal. Ia secara tidak langsung mempengaruhi hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab halal di rantau ini dan dunia," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pembangunan Iindustri Halal 2007 di sini semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Ahmad Hamzah serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Industri Halal Malaysia (HDC), Datuk Jamil Bidin.
Mohd Ali berkata, pengiktirafan produk halal menggunakan logo Jakim akan terus diterima bukan saja di negara Islam, tetapi di Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan Amerika Latin.
"Kita mahu apabila sebut produk halal, dunia akan melihat Malaysia sebagai rujukan. Pada masa sama negara yang ingin mengeluarkan produk halal perlu mendapatkan pengiktirafan Jakim terlebih dulu.
"Produk halal ini juga perlu mendapat perakuan standard global seperti Titik Kawalan Kritikal Analisis Bahaya (HACCP), kaedah Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan amalan lain berkaitan kualiti produk, kebersihan, keselamatan serta kesan kepenggunaan produk ke atas kesihatan pengguna.
"Keperluan itu adalah untuk memudahkan kita meneroka pasaran di negara bukan Islam. Sebagai contoh apabila sebut produk GMP, Australia akan menjadi rujukan dunia dan kita mahu Halal Jakim seperti itu," katanya.
0 comments:
Post a Comment