Disiplin: Selesai dengan sekolah

PUTRAJAYA 17 Nov. – Ibu bapa disaran agar tidak menjadikan media massa atau pihak polis sebagai tempat untuk mereka menyelesaikan masalah disiplin sekolah yang membabitkan anak masing-masing.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar berkata, saranan tersebut penting memandangkan banyak kes disiplin di sekolah sebelum ini, yang tidak membabitkan pihak media massa atau polis, dapat diselesaikan dengan baik.

‘‘Ibu bapa seharusnya merujuk masalah disiplin anak mereka kepada pihak sekolah terlebih dahulu kerana saya percaya dengan tahap profesionalisme para guru untuk menyelesaikan masalah tersebut.

‘‘Guru bukan hanya dibekalkan dengan pekeliling bagaimana untuk menyelesaikan kes disiplin pelajar dengan adil tetapi mereka juga turut diberikan latihan yang sesuai dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Remaja anjuran Kementerian Pelajaran dengan kerjasama sebuah stesen televisyen swasta di sini hari ini.

0 comments: