Henti isu anugerah penyapu

SHAH ALAM: Pemuda Umno Selangor mendesak semua pihak menghentikan isu pemberian penyapu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal mengutip hasil cukai disasarkan kerajaan negeri.

Ketuanya, Abdul Shukur Idrus, berkata pergerakan itu menyifatkan isu berkenaan sudah selesai berikutan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang hadiah penyapu tidak akan diteruskan tahun depan.

Beliau menjelaskan keputusan asal mengenai hadiah penyapu dicapai Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri yang disertai PBT dan bukan diputuskan sendirian oleh Menteri Besar.

"Jadi, kenapa ada orang lain hari ini bangun untuk menjadi jaguh kononnya untuk mengatakan tidak puas hati. Cukuplah, pegawai kerajaan buatlah kerja masing-masing dan orang parti buatlah kerja masing-masing.

"Kita harap tiada lagi kenyataan mengenai penyapu dikeluarkan media," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan delegasi Komuniti Nasional Pemuda Indonesia (Padang, Sumatera Barat) di Bangunan Umno di sini, semalam.

Kelmarin, Dr Mohamad Khir berkata pegawai dan kakitangan awam di Selangor tidak akan menerima penyapu lagi tahun depan jika prestasi kerja mereka masih pada takuk lama, sebaliknya diminta bersara awal atau diberhentikan kerja.

Abdul Shukur berkata, pergerakan itu melihat banyak pihak terlalu ‘seronok’ mengkritik sehingga ada pemimpin tertinggi Kerajaan Pusat mengeluarkan kenyataan bercanggah antara kementerian.

"Ada pemimpin dilaporkan mengkritik dan mengeluarkan kenyataan yang PBT di bawah (kuasa) Kerajaan Pusat tetapi hari ini (semalam) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengatakan PBT ditadbir kerajaan negeri.

"Adalah amat memalukan jika pemimpin tertinggi mengeluarkan kenyataan bercanggah perkara sebenar," katanya sambil menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Menteri Besar yang mempertahankan tindakan menghadiahkan penyapu kepada PBT yang tidak menepati kutipan cukai yang ditetapkan.

Ditanya pendapatnya mengenai hadiah penyapu, Abdul Shukur berkata, ia akan menjadi sesuatu yang negatif jika difikirkan dari sudut negatif dan sebaliknya jika difikirkan secara positif.

"Bagaimanapun, saya bersetuju dengan pendapat Menteri Besar bahawa tidak ada benda yang sial kecuali penyapu dalam budaya Melayu. Penyapu amat berguna untuk membersih dan tanpa penyapu, tak boleh bersih.

"Bayangkan apa rupa rumah atau pejabat kalau tak ada penyapu. Penyapu yang membersihkan. Jadi, penyapu bukanlah benda yang tidak baik," katanya.

Beliau berpendapat tujuan kerajaan negeri mewujudkan anugerah itu adalah baik bagi memastikan semua kakitangan dan pegawai, bekerja.

0 comments: