SHAH ALAM 17 Nov. – Pergerakan Pemuda UMNO Selangor meminta semua pihak menghentikan isu pemberian hadiah penyapu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal mengutip hasil cukai yang disasarkan oleh kerajaan negeri ini.
Ketuanya, Abdul Shukur Idrus berkata, ini kerana isu itu sudah boleh dianggap selesai berikutan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo bahawa pemberian hadiah penyapu tidak akan diteruskan pada tahun depan.
Beliau berkata, sebenarnya keputusan asal mengenai hadiah penyapu dicapai oleh Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri yang disertai semua wakil PBT dan bukan diputuskan sendiri oleh Menteri Besar.
‘‘Jadi, kenapa ada orang lain bangun untuk menjadi jaguh kononnya untuk menyatakan rasa tidak puas hati,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan delegasi Komuniti Nasional Pemuda Indonesia (Padang, Sumatera Barat) di Bangunan UMNO di sini, hari ini.
Abdul Shukur berkata, pergerakan itu melihat banyak pihak terlalu ‘seronok’ mengkritik sehingga ada pemimpin kerajaan Pusat mengeluarkan kenyataan bercanggah antara kementerian.
Ditanya pendapatnya mengenai hadiah penyapu, Abdul Shukur berkata, ia akan menjadi sesuatu yang negatif jika difikirkan daripada sudut itu.
Beliau bersetuju dengan pendapat Menteri Besar bahawa tidak ada benda sial dalam budaya Melayu termasuk penyapu yang amat berguna untuk membersih kawasan atau premis.
‘‘Bayangkan apa rupa rumah atau pejabat kalau tak ada penyapu. Penyapulah yang membersihkan. Jadi, penyapu bukanlah benda yang tidak baik,” katanya.
0 comments:
Post a Comment