Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
GEORGETOWN: Koridor ekonomi yang diwujudkan kerajaan di seluruh negara tidak akan bersaing sesama sendiri, sebaliknya saling melengkapi kerana mempunyai fokus dan karektor yang tersendiri.
Setakat ini, kerajaan sudah melancarkan tiga koridor ekonomi iaitu Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Wilayah Ekonomi Koridor Timur (ECER).
Pengurus Projek Khas Koridor Utara Sime Darby Bhd, Wan Azrain Wan Adnan, berkata setiap koridor mempunyai fokus berbeza mengikut sumber yang ada dalam kawasan masing-masing.
Katanya, walaupun berbeza dari segi penumpuan tetapi saling melengkapi bagi tujuan pembangunan negara.
NCER menumpukan kepada aspek pertanian dan pengeluaran makanan, selain sebagai hab logistik, manakala ECER memfokuskan kepada pengeluaran minyak dan gas.
"WPI pula lebih kepada aspek pembangunan infrastruktur. Jadi tidak timbul persaingan sebaliknya saling melengkapi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kertas kerja bertajuk ‘NCER Penggerak Koridor Utara’ pada Seminar NCER: Memacu Potensi Pulau Pinang, di sini, semalam.
Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (Isis), yang juga Pengerusi The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Seri Mohamed Jawhar Hassan bertindak sebagai moderator dalam seminar sehari anjuran Abad Naluri Sdn Bhd, syarikat sekutu Equine Capital Bhd.
Hadir sama, Pengerusi Equine Capital, Datuk Patrick Lim serta kira-kira 100 peserta terdiri daripada ahli perniagaan, kontraktor dan wakil badan bukan kerajaan (NGO).
Terdahulu dalam kertas kerjanya, Wan Azrain berkata, kerajaan menubuhkan NCER kerana pembangunan di beberapa negeri di wilayah Utara yang masih ketinggalan berbanding negeri lain.
Sehubungan itu, katanya, NCER diharap dapat memajukan negeri berkenaan, sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan penduduknya.
Seorang lagi penceramah, Pengarah Pusat Penyelidikan NCER (NCER-CR), Prof Madya Dr Zulkhairi Dahalin, berkata penubuhan koridor ekonomi juga bertujuan menggalakkan pertumbuhan sinergi.
Katanya, NCER juga akan mewujudkan proses pembangunan ekonomi seimbang dan adil kerana semua kawasan memiliki asas serta sumber untuk dibangunkan.
"Kita hanya memerlukan inisiatif untuk mengembangkannya, selain perlu menambah keperluan sumber manusia bagi memastikan pelaksanaannya menjadi lebih berkesan," katanya.
0 comments:
Post a Comment