Dulu berat badan 208kg, kini 108kg

Oleh Farid Noh


SEBELUM RAWATAN: Mazliwati tidak berdaya berjalan.

RAWANG: "Alhamdulillah, berat badan saya kini dalam lingkungan 108 kilogram dan dijangka turun lagi dalam beberapa bulan akan datang," kata Mazliwati Md Shah, 33, yang sebelum ini sukar bergerak apabila berat badannya mencecah 208kg.

Bekas tukang masak itu berkata, berat badannya turun 100kg selepas beliau menjalani rawatan intensif di hospital kerajaan sejak Mac lalu serta mengamalkan pengambilan produk herba dalam tempoh lima bulan lalu.

Mazliwati yang menghidap Abdominal Cellulitis atau selulit pada perut dan Hobbit Obesity atau kegemukan habit sejak 2004, berkata beliau kini bukan saja dapat bergerak dengan selesa, malah boleh memakai kasut bertumit tinggi.


"Kulit saya yang dulu kusam, gelap dan kasar, kini lebih cerah dan anjal. Sebelum ini, saya sangat gemuk sehingga tidak mampu berdiri dan berjalan serta malu untuk keluar rumah dan berdepan dengan masyarakat," katanya ketika ditemui Berita Minggu di rumahnya Bandar Tasik Puteri di sini.

Penderitaan Mazliwati yang disiarkan Berita Harian, Februari lalu, mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk beberapa pakar perubatan tradisional yang berminat membantunya.

"Saya amat terhutang budi pada Berita Harian yang menyiarkan kisah penderitaan saya sehingga mendapat perhatian meluas masyarakat.



WAJAH BARU: Mazliwati lebih ceria sekarang

"Kejayaan menurunkan berat badan adalah berkat bantuan beberapa doktor pakar, terutama Dr Masliza dari Hospital Sungai Buloh serta pembaca Berita Harian yang prihatin," katanya.

Selain mendapat rawatan intensif di Hospital Sungai Buloh selama dua bulan, Mazliwati juga dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selama tiga bulan.

Beliau diberi rawatan khas termasuk pengawalan makanan harian, latihan fisioterapi dan senaman serta diberi ubatan khusus sebelum menjalani pembedahan laparoscopic gastric bypass di HUKM bagi mengikat perutnya.

"Selepas mendapat rawatan dan pembedahan dengan bantuan kewangan dari Pusat Zakat Selangor (PZS), saya kini hanya hadir ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan yang dilakukan secara berjadual.

"Doktor mengesahkan kesihatan saya kini memuaskan dan saya digalakkan supaya terus mengamalkan senaman serta mengawal pemakanan," katanya.

Mazliwati berkata, sejak lima bulan lalu beliau juga mengamalkan pemakanan produk kesihatan berasaskan herba yang dibekalkan sebuah syarikat secara percuma.

Beliau berkata, produk itu diketahui menerusi seorang pembaca Berita Harian yang terharu membaca kisah penderitaannya.

Ditanya apa yang akan dilakukan selepas ini, Mazliwati berkata, beliau bercita-cita membuka pusat rawatan kecantikan dan kesihatan.

"Saya bertekad membuka perniagaan berkenaan kerana mahu berkongsi pengalaman saya," katanya.

0 comments: