Singapura mulakan hujah bicara kes Batu Putih

Daripada Noraini Abd. Razak

THE HAGUE, Belanda 6 Nov. – Singapura hari ini memulakan hujah-hujah lisan tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini dengan mempertahankan hujah bahawa negara itu mempunyai hak kedaulatan ke atas pulau itu sejak 150 tahun lalu tanpa sebarang bantahan daripada Malaysia.

Pasukan Singapura yang diketuai oleh Duta Kembara, Kementerian Luarnya, Tommy Koh yang bertindak sebagai ejen republik itu mengemukakan pelbagai dokumen berupa peta, gambar-gambar dan rakaman suara bagi menyokong tuntutan mereka terhadap Pulau Batu Putih serta dua pulau lagi iaitu Middle Rocks dan South Ledge.

Tommy Koh dalam hujah-hujahnya menekankan sikap Malaysia yang didakwa oleh republik itu sebagai ‘berdiam diri’ dalam setiap tindakan Singapura di Pulau Batu Putih bermula dari pembinaan Rumah Api Horsburgh oleh British pada tahun 1947 dan siap empat tahun selepas itu.

Beliau mendakwa surat pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1953 yang menyatakan negeri itu tidak membuat sebarang tuntutan ke atas Pulau Batu Putih yang ditadbir Singapura ketika itu.

Malah sikap ‘berdiam diri’ itu, dakwa Singapura, turut ditunjukkan oleh Malaysia ketika republik itu membuat keputusan membina tapak pendaratan helikopter pada 1992 dan rumah radar pada 1989 di Pulau Batu Putih.

Beliau berhujah, keputusan Singapura membina kedua-dua kemudahan bagi mengawal kegiatan lanun di perairan Selat Singapura itu tidak pernah merujuk atau mendapat keizinan daripada mana-mana negara lain termasuk Malaysia.

Wakil Singapura itu secara panjang lebar menyingkap latar belakang sejarah pembinaan rumah api Horsburgh oleh British sambil menunjukkan gambar Pulau Batu Putih yang menurut beliau lebih dikenali sebagai Pedra Branca - bermakna batu putih dalam bahasa Portugis.

Gambar-gambar Pulau Batu Putih itu turut merangkumi sekeping gambar lama pulau itu sebelum rumah api dibina oleh British. Singapura yang berpegang kepada nama Pedra Branca mendakwa nama Pulau Batu Putih hanya kedengaran baru-baru ini iaitu selepas Malaysia buat pertama kalinya mendakwa pulau itu miliknya iaitu pada 1979.

Bertindak

Sementara itu, Peguam Negara republik itu yang bertindak sebagai pembentang kedua pasukan Singapura, juga membandingkan keprihatinan Malaysia terhadap tatacara Singapura menyelenggara rumah api di Pulau Pisang yang dibina oleh British pada 1886.

Chao Hick Tin ketika berhujah berkata, pada tahun 1900 Malaysia telah mengeluarkan geran tanah rasmi Pulau Pisang bagi menunjukkan pemilikannya ke atas pulau itu dan tindakan seumpama itu tidak pernah dilaksanakan terhadap Pulau Batu Putih.

“Rumah Api di Pulau Pisang adalah satu-satunya rumah api yang diselenggara oleh Singapura di wilayah milik Malaysia, bagaimanapun Pulau Pisang dan Pedra Branca berbeza,” katanya.

Beliau turut membangkitkan bantahan Malaysia terhadap Singapura kerana mengibarkan bendera republik itu di rumah api di Pulau Batu Pisang sedangkan tiada bantahan seumpama itu ditunjukkan di Pulau Batu Putih.

Mahkamah turut mendengar rakaman sidang akhbar bersama Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura pada 13 Mei 1980.

Rakaman tiga setengah minit itu antara lain berkisar kepada jawapan Perdana Menteri Malaysia berhubung kes pertikaian Batu Putih yang dibangkitkan ketika itu.

Jawapan itu antara lain memetik Perdana Menteri Malaysia sebagai berkata bahawa Malaysia juga tidak pasti kedudukan pulau tersebut dan kedua-dua pihak perlu merujuk kepada beberapa dokumen untuk menyelesaikan pertikaian tersebut.

Perbicaraan terbuka hari ini selaras dengan terma-terma Perjanjian Khas yang ditandatangani oleh Menteri Luar kedua-dua negara pada 6 Februari 2003 untuk menyerahkan pertikaian tersebut kepada ICJ.

Delegasi Singapura terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kordinat Keselamatan Negara dan Menteri Undang-Undang, Profesor S. Jayakumar,

Perbicaraan di Peace Palace berlangsung di hadapan 16 hakim yang diketuai oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh termasuk dua hakim ad hoc yang berkuat kuasa hari ini.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Penasihat Hal Ehwal Luar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad manakala Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin bertindak sebagai wakil bersama.

– Utusan

0 comments: