Oleh Ismail daud
|
|
KUALA LUMPUR 6 Nov. – UMNO kini berada dalam gear penuh untuk menghadapi pilihan raya umum dengan sayap-sayap parti itu bertekad memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang besar dalam pilihan raya umum akan datang.
Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan masing-masing di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini menyeru setiap ahli cabang UMNO itu bersiap menghadapi pilihan raya umum ke-12 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
Malah, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz menggesa setiap seorang ahli Wanita UMNO berada dalam ‘gear penuh’ dan memastikan tiada lagi persiapan pilihan raya yang masih belum dilaksanakan.
Ketika menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan tersebut yang diadakan tiga tahun lapan bulan selepas pilihan raya umum ke-11 pada Mac 2004, beliau menasihatkan setiap ahli Wanita UMNO supaya tidak bertanya bila pilihan raya akan diadakan.
Sebaliknya, beliau mahu ahli-ahli Wanita UMNO seramai 1.3 juta orang memperkasakan jentera untuk menjamin kemenangan UMNO dan BN.
“Banyak masa telah diberikan untuk bersiap sedia, kita kini berada dalam mood pilihan raya dan sepatutnya sudah masuk gear penuh sekarang.
“Jangan pula masuk gear reverse (undur) dengan bersengketa sesama cawangan kerana berebut hendak jadi calon dan jangan juga masuk gear neutral, ini makna kerja tak jalan,” tegasnya.
Rafidah mengingatkan bahawa Wanita UMNO telah memainkan peranan besar sebagai jentera parti sejak sekian lama dan tugas itu perlu diteruskan dengan memperbaiki jentera sedia ada termasuk konsep Ketua 10 yang kini menjadi asas kepada kerja-kerja pilihan raya pergerakan itu.
“Saya ingin menyuarakan supaya setiap bahagian, zon dan peti undi menyiapkan segala kerja pemantauan dan semakan serta menghantar laporan terkini ke ibu pejabat supaya dapat dianalisis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Tahunan Pemuda pula mengarahkan ahli-ahli Pemuda agar tidak memandang remeh tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam pilihan raya.
Katanya, adalah sesuatu yang tragis apabila orang UMNO yang memegang kad keahlian dan bangga mendakwa mereka menyumbang kepada sebahagian daripada legasi hebat parti tidak menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam pilihan raya yang menentukan survival bangsa.
“Maka, adalah menjadi tugas kita semua untuk menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang amat penting ini,’’ katanya dalam nada suara penuh semangat dan disambut tepukan gemuruh para perwakilan.
Hishammuddin juga menggesa ahli-ahli Pemuda UMNO untuk bergerak lebih agresif mendekati generasi muda di pelbagai peringkat dan membuka ruang seluas-luasnya bagi kumpulan itu menyertai UMNO.
Generasi tersebut, katanya, mempunyai kapasiti intelek yang hebat, progresif, berkeyakinan tinggi, lebih terbuka kepada pembaharuan dan membesar dalam era globalisasi.
Pada masa yang sama, kata Menteri Pelajaran itu, ahli Pemuda UMNO tidak boleh lupa bahawa terdapat jutaan rakyat lain di Malaysia yang menyokong dasar dan perjuangan UMNO walaupun mereka bukan ahli UMNO.
Katanya, golongan itulah yang mengundi UMNO dalam setiap pilihan raya kerana 3.3 juta ahli UMNO tidak cukup untuk menjamin kemenangan BN dalam pilihan raya.
Ketika ditemui kemudian, Hishammuddin menjelaskan, Pemuda UMNO kini berada pada landasan kukuh untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang bersama rakan-rakan dalam komponen BN.
“Pemuda UMNO akan buktikan bahawa kita sememangnya sentiasa bersama-sama untuk memastikan kemenangan calon-calon kita,’’ katanya.
Pergerakan Puteri UMNO juga menggunakan Perhimpunan Agung Tahunannya bagi merapatkan barisan menjelang pilihan raya umum ke-12 yang akan mempertandingkan 222 kerusi Parlimen dan lebih 500 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad dalam ucapan dasarnya berkata, selain memastikan UMNO bersiap sedia menggempur lawan menerusi teknologi maklumat, Puteri UMNO tidak akan jemu-jemu meraih sokongan sekali pun terpaksa memanjat flat di bandar raya, berjalan di taman perumahan dan menyusur kesibukan kota.
“Bahkan, jika perlu kita berdayung sehingga ke hulu sungai, mendaki ke puncak gunung, meredah semak dan belantara, Puteri tidak akan terhenti. Ini janji kita!’’ tegasnya.
Menurut Noraini, konsistensi dan keupayaan bekerja kuat itulah yang menjadi tunjang Puteri UMNO dalam menghadapi pilihan raya dan berasaskan semangat itu, Puteri UMNO akan memastikan calon-calon BN menang dengan majoriti lebih tinggi.
“Kepada semua ahli Puteri UMNO, marilah sama-sama kita melipatgandakan usaha. Insya-Allah, Kelantan pun akan kita tawan pada pilihan raya akan datang,’’ ujar beliau.
0 comments:
Post a Comment