Singapura dakwa warisi 3 wilayah daripada British

Khirul Bahri Basaruddin di The Hague, Belanda


TUNTUTAN BERSAMA: Kelihatan dari kiri, Abdul Kadir, Farida, Abdul Gani, bersama tiga panel penasihat antarabangsa Lauterpacht, Crawford, dan Jan Schrijver ketika perbicaraan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, semalam.

Pemilikan langsung Batu Putih, Middle Rocks, South Ledge pada 1965

THE HAGUE: Perbicaraan kes kedaulatan Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang bermula semalam, dimulai dengan ucapan pembukaan Ejen Singapura, Prof Tommy Koh.

Koh memberitahu panel 14 hakim dan dua hakim ad hoc ICJ bahawa dalam tempoh empat hari, negara itu akan mengemukakan hujah undang-undang dan fakta kedaulatan ketiga-tiga wilayah miliknya sejak 150 tahun.


Katanya, Peguam Negara Singapura, Chao Hick Keong memulakan hujah dalam perbicaraan itu diikuti antaranya Ketua Hakim Negara Singapura, Chan Sek Keong, Prof Alain Pellet, Rodman R Bundy dan penutup oleh Menteri Penyelaras Keselamatan Negara dan Undang-Undang, Prof S Jayakumar.

Koh dalam ucapan kira-kira 30 minit membentangkan kes Singapura antara lain mendakwa kedaulatan wilayah yang menjadi pertikaian itu sejak 130 tahun lalu berada dalam penguasaan negara itu melalui penjajah British.

Katanya, negara itu secara langsung memiliki semua wilayah dalam jajahan British termasuk Pulau Batu Putih apabila menjadi sebuah negara merdeka pada 1965.


Beliau berkata, Malaysia hanya memasukkan wilayah terbabit sebagai sebahagian hak negara itu dalam peta diterbitkan pada 1980 dan langkah itu dibantah Singapura hingga membawa pertikaian itu ke ICJ.

"Middle Rocks dan South Ledge berada dalam kedaulatan kepulauan Pulau Batu Putih, manakala Pulau Batu Putih sejak 150 tahun milik Singapura. Oleh itu, Singapura mempunyai hak kedaulatan ke atas Middle Rocks dan South, " katanya di hadapan Naib Presiden ICJ, Awn Shawnkat Al-Khasawneh dan barisan penal hakim.

Sebelum perbicaraan bermula Hakim Ad Hoc mewakili kepentingan Malaysia dalam perbicaraan itu, Christopher S R Dugard dari Afrika Selatan dan Singapura, Pemmaraju Sreenivasa Rao dari India, mengangkat sumpah menjalan tugas sepanjang perbicaraan kes itu.

Dalam perbicaraan itu Singapura juga mengemukakan pita audio petikan kenyataan Perdana Menteri Malaysia ketiga, Tun Hussein Onn mengenai pertikaian Pulau Batu Putih dalam satu sidang akhbar bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Kwan Yew pada 13 Mei 1980 di Singapura.

Pada hari pertama perbicaraan yang bermula pada jam 10 pagi waktu tempatan, mahkamah dipenuhi delegasi Malaysia dan Singapura serta orang awam yang berminat mengikuti kes itu.

Koh memberitahu mahkamah bahawa Malaysia tidak mempunyai sebarang bukti kukuh untuk menuntut Pulau Batu Putih kerana sejak sebelum 1980, negara itu berdiam diri setiap urusan yang dilaksanakan di pulau yang menempatkan Rumah Api Horsburgh.

Malah, katanya, Johor sebagai sebuah negeri merdeka pada 1953 memaklumkan kepada penjajah Britain bahawa negeri itu tidak menuntut hak ke atas Pulau Batu Putih.

Sehubungan itu, katanya, apabila Johor menjadi sebahagian daripada Malaysia pada 1957, kedaulatan negeri itu berada dalam penguasaan Malaysia.

Koh berkata, selain Malaysia tidak pernah menuntut Pulau Batu Putih sebelum 1980, sekitar pada 1880, Gabenor-Jeneral Belanda yang berpusat di Betawi, Indonesia mengiktiraf pemilikan pulau itu oleh penjajah British.

Pada 2003, dua negara berkenaan mengemukakan bersama kepada ICJ pertikaian berhubung kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge.

Mereka memberitahu ICJ mengenai kes itu melalui Perjanjian Khas ditandatangani Malaysia dan Singapura pada 6 Februari tahun itu di Putrajaya dan dikuatkuasakan pada 9 Mei tahun sama.

Perbicaraan bersambung hari ini.

0 comments: