Polis tolak permohonan permit perhimpunan di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Polis tidak mengeluarkan permit kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang merancang untuk mengadakan perhimpunan rakyat di Dataran Merdeka, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zul Hasnan Najib Baharuddin berkata, tindakan itu diambil bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

“Kita tidak akan mengeluarkan permit kepada mereka (Bersih) untuk mengadakan perhimpunan seperti yang dirancang.

“Jika mereka ingkar, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Zul Hasnan berkata, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Zulkarnain Abd. Rahman telah memaklumkan kepadanya mengenai keputusan tidak mengeluarkan permit kepada Bersih.

“Perhimpunan sedemikian akan menggugat ketenteraman awam dan oleh sebab itu, beliau (Mohd. Zulkarnain) tidak meluluskan permit untuk mengadakannya,” katanya.

Serentak itu, Zul Hasnan mengulangi amaran kepada orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan tersebut.

“Kita akan mengetatkan kawalan di sekitar ibu negara dan akan mengambil tindakan tegas dan sesuai dengan keadaan untuk menyuraikan perhimpunan itu Sabtu ini,” tegasnya.

Zul Hasnan menambah, kawalan secukupnya telah diatur untuk menghadapi kemungkinan perhimpunan haram tersebut diadakan walaupun tidak mendapat permit polis.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar pergi berekreasi di tempat lain dan elakkan mengikut perasaan ingin tahu dan berada di tempat perhimpunan tersebut.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Induk Bersih, Sivarasah Kandhiah berkata, perhimpunan itu akan tetap diteruskan walaupun tidak mendapat permit polis.

0 comments: