Oleh M Hifzuddin Ikhsan
BERTANYA KHABAR: Mohd Najib (kiri) bersalaman dengan sebahagian pegawai kanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak ketika lawatan kerja ke IPK Sarawak, semalam. Lawatan kerja itu diadakan sempena persaraannya 13 November ini. |
KUCHING: Polis akan memulakan pengambilan anggota lulusan diploma bagi mengisi kekosongan jawatan Penolong Pegawai Penyiasat berpangkat Sarjan yang mempunyai kekosongan sehingga 2,500 setiap tahun, mulai tahun hadapan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Najib Mohd Aziz, berkata pengambilan ini akan dilakukan secara berperingkat kerana pada masa sama pengambilan lulusan ijazah sarjana muda untuk jawatan Pegawai Penyiasat akan diteruskan.
"Kita memerlukan antara 4,000 hingga 4,500 anggota baru untuk diserapkan sebagai Penolong Pegawai Penyiasat bagi mengimbangi jumlah anggota berpangkat Sarjan yang akan bersara pada setiap tahun.
"Mereka akan dilatih untuk membantu Pegawai Penyiasat dalam setiap kes sebelum dipertimbangkan untuk dinaikkan pangkat ke Sarjan dan menjadi pegawai penuh," katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, semalam.
Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Abdul Rahman Hussain; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Ketua Jabatan Pengurusan, Senior Asisten Komisioner II A Thaiveegan.
Najib berkata, lulusan Ijazah Sarjana Muda pula akan diserapkan terus ke jawatan Pegawai Penyiasat dengan pangkat Inspektor Percubaan dengan pengambilan anggota bagi jawatan Kadet Asisten Superintendan (ASP) dihapuskan.
"Ini penting untuk memastikan semua anggota kita memperolehi pengalaman dalam mengendalikan kes siasatan jenayah sebelum mereka menjawat jawatan lebih tinggi," katanya.
Mengenai perubahan mata pelajaran dalam latihan asas kepada anggota barunya, Najib berkata polis akan mempraktikkan sistem latihan 3+3+1 yang akan memberatkan aspek latihan amali di balai polis.
"Sebelum ini anggota dan pegawai lebih banyak berada di kawasan pusat lokasi dengan latihan berlansung antara enam dan sembilan bulan meliputi aspek kawad, senjata api dan undang-undang.
"Namun dengan silabus baru ini anggota dan pegawai akan berada di pusat latihan selama tiga bulan, dihantar ke bandar utama bagi latihan amali selama tiga bulan dan pulang kembali ke pusat latihan untuk peperiksaan dan majlis tamat latihan," katanya.
Najib berkata, serentak dengan itu juga polis juga perlu melakukan kerja naik taraf semua pusat latihan bagi menampung lebih ramai anggota dan pegawai yang bakal menjalani latihan asas.
"Ini adalah sebahagian dari proses bagi pengambilan sehingga 14,000 anggota dan pegawai baru bagi membolehkan pasukan bergerak sepenuhnya selaras dengan sasaran kerajaan.
"Menjadi masalah semua pusat latihan polis hanya mampu menampung sekitar 5,000 pelatih sahaja pada setiap masa dengan proses pembinaan blok berek baru sedang dilakukan," katanya.
Najib dalam rangka lawatan ke Sabah dan Sarawak sebelum bersara wajib pada Selasa depan selepas berkhidmat selama 38 tahun dalam pasukan.
0 comments:
Post a Comment