Oleh Rozaman Ismail
KUALA LUMPUR 6 Nov. – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu supaya jangan terbawa-bawa dengan semangat perkauman sehingga hilang rasa hormat yang dibina sekian lama melalui pengorbanan orang Melayu.
Sambil meminta mereka supaya “jangan mencipta musuh yang tiada dan jangan takut dengan bayang-bayang”, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu menegaskan beliau tidak akan melayan lagi polemik melulu mengenai keris yang masih belum reda sejak tahun lalu.
Menurut Hishammuddin, sejak perarakan masuk Keris Panca Warisan pada perhimpunan dua tahun lalu, polemik mengenainya berlarutan sehingga ke hari ini hingga menimbulkan keresahan yang tidak seharusnya berlaku.
“Pada mereka mengapakah keris mesti dikucup? Kenapakah keris mesti dipegang dan matanya dijulang ke langit? Keris dikatakan lambang pergaduhan.
“Rupa-rupanya setelah 50 tahun kemerdekaan tanah air masih ada warganegara yang belum memahami kebudayaan bangsa dan negara sendiri,” tegasnya ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk ‘Pemuda Perjuangan’ pada Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda UMNO di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Hishammuddin mengingatkan pemimpin-pemimpin bukan Melayu supaya tidak mengungkit perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama sebelum ini.
Beliau berkata, perkara-perkara berkaitan hak orang Melayu sebenarnya telah diuji teras kekuatannya.
“Orang Melayu tidak pernah mengungkit apa yang bukan hak mereka sebaliknya memberikan ruang dan kesempatan kepada semua,” kata beliau.
Dalam isu hak-hak Melayu, Hishammuddin menjelaskan dengan berseloka: “Kita tunduk memberi hormat; Kita mengangguk mengiakan; Kita berkalis menolak sengketa; Diam jangan disangka tunduk; Mengalah jangan disangka lemah.”
Beliau menambah, sebagai anggota sayap kanan parti, Pergerakan Pemuda UMNO diberikan amanah bagi memastikan bahawa asas-asas dan tujuan penubuhan UMNO dipertahankan sampai ke titisan darah yang terakhir.
“Walaupun kita dituntut untuk mempertahankan agama, bangsa dan kedaulatan negara, Perkara 3 Perlembagaan UMNO juga sentiasa memperingatkan kita untuk mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan rakyat Malaysia yang kuat dan bersatu,” katanya.
Hishammuddin turut menghuraikan asas-asas perjuangan Pemuda UMNO selain usaha kerajaan untuk meningkatkan pendidikan anak bangsa bagi menghadapi cabaran globalisasi.
Beliau juga menggunakan sebahagian daripada ucapannya untuk mengupas secara panjang lebar isu keris yang dieksploitasi oleh sesetengah parti pembangkang.
Hishammuddin berkata, Keris Panca Warisan diisytiharkan sebagai Tekad Baru Pemuda berlandaskan kepada pancaran lima rukun idealisme Pemuda iaitu Rukun Islam, Rukun Iman, Rukun Negara, Agenda Melayu dan Jati Diri.
Secara simboliknya, kata beliau, keris itu menjunjung lambang kekuatan dan warisan pusaka turun-temurun.
Menurut Ketua Pemuda UMNO itu, keris juga adalah lambang kemelayuan yang mendukung kedaulatan, kekuasaan, maruah, jati diri, amanah dan tanggungjawab.
Katanya, keris amat unik sama ada dalam cara membuatnya atau cara disepuh, disarung, dipakai, diguna dan ada pantang larang.
Beliau berkata, keris bukan seperti kapak yang boleh digunakan untuk menebang atau parang untuk menyembelih.
Malah, katanya, keris bukan senjata gunaan seharian untuk ke sawah ladang tetapi untuk ke istana atau ke majlis-majlis rasmi.
“Keris juga lambang kesatuan bernegara seperti Keris Panjang milik Yang di-Pertuan Agong.
“Keris ini ditempa daripada cantuman besi yang berasal daripada sebelas bilah keris negeri-negeri di Tanah Melayu. Jelas keris bukan sekadar simbol kekuasaan tetapi juga adalah simbol kesatuan.
“Masih ramai di kalangan rakyat Malaysia yang tidak mengetahui bahawa keris juga merupakan lambang kewibawaan, kebijaksanaan dan ilmu.
“Orang yang memakai keris itu orang yang ada hikmah, bijaksana dan berpengetahuan dalam ilmu, bukan hanya ilmu pendekar dan persilatan sahaja,” tegas beliau.
Hishammuddin berkata, keris dikucup bukan sekadar menerima kuasa tetapi ada kaitan dengan tugas yang datang bersamanya.
Perlakuan itu, kata beliau, ada hubungannya dengan kesediaan menjunjung tinggi tugas yang diwarisi dengan penuh keinsafan dan kejujuran.
Menurutnya, keris dijulang bermakna menjulang kuasa, kedaulatan dan tanggungjawab yang diserahkan dengan ikrar untuk berlaku adil dan saksama dalam menunaikan amanah yang diterima.
“Keris tidak dihunus tanpa bertempat. Keris dihunus dengan tekad untuk mempertahankan bangsa dan kepentingan negara, bukan hanya untuk orang Melayu tetapi juga untuk mempertahankan kaum-kaum lain yang bernaung di negara ini.
“Keris Melayu menjadi pelindung kepada semua orang seperti juga kerajaan yang ada pada hari ini yang sentiasa melindungi rakyat pelbagai kaum yang bernaung di bawahnya.
“Berteduhlah di bawah perlindungan keris Melayu yang berdaulat ini. Tiada siapa yang harus gementar atau gugup dengan lambang yang abadi itu,” ujarnya.
Kata Hishammuddin: “Saya ingin menyatakan untuk kali terakhir bahawa Pemuda tidak akan melayan lagi polemik melulu ini.”
Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda UMNO petang ini diakhiri dengan perarakan Keris Panca Warisan dan bacaan ikrar Pemuda UMNO untuk mempertahankan orang Melayu dan UMNO.
0 comments:
Post a Comment