Kasi perogol kanak-kanak

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Penjenayah yang didapati bersalah merogol dan jenayah seksual terutama ke atas kanak-kanak dicadang supaya dikenakan hukuman bunuh atau kasi.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Bukit Bendera, Hazlina Abdul Rashid yang menyarankan pelaksanaan hukuman kasi mahu ia dilaksanakan secepat mungkin.

“Pindaan ini perlu dilakukan seberapa segera yang mungkin, kerana kita tidak sanggup untuk mendengar siapa selepas Nurin Jazlin Jazmin,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Puteri UMNO.

Menurut Hazlina, hukuman kasi perlu dikenakan memandangkan perbuatan zalim perogol dan penjenayah meninggalkan kesan yang amat pahit kepada mangsa dan keluarganya.

Katanya, masa depan mangsa punah sama sekali, namun masih perlu meneruskan kehidupan.

“Oleh itu penjenayah juga perlu mengalami trauma serta aib yang sama dan masa depan yang gelap setimpal dengan sikap kejamnya,” katanya.

Pergerakan Puteri UMNO Kelantan pula mahu undang-undang dipinda supaya penjenayah seksual dan rogol terhadap kanak- kanak yang berusia kurang 12 tahun dikenakan hukuman bunuh.

Wakilnya yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pasir Puteh, Nik Suraya Nik Ramlee berkata, hukuman itu lebih setimpal dengan jenayah yang dilakukan serta sebagai amaran berkesan kepada masyarakat.

Katanya, kajian mendapati 90 peratus daripada pelaku jenayah seksual adalah orang-orang yang dikenali seperti bapa, bapa tiri, saudara mara serta jiran.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sepang, Rina Mohd. Harun pula menyarankan kerajaan mengkaji semula pendekatan program pembangunan usahawan yang sedia ada.

Menurutnya, program sekarang dilihat tertumpu kepada pembangunan kemahiran perniagaan dan kemudahan pembiayaan yang tidak berkesan.

‘‘Ini sekali gus membantutkan usaha dalam melahirkan lebih ramai usahawan muda Melayu,’’ katanya ketika membahaskan usul menyokong ucapan dasar Ketua Puteri UMNO.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Pilah yang mewakili Negeri Sembilan, Siti Norsalbi Mohamad pula mahu belia seawal usia 16 tahun didedahkan dengan kemahiran vokasional berteras keusahawanan agar mentaliti ‘makan gaji’ dapat dihapuskan sama sekali.

Usahawan tanpa pendedahan awal berkemungkinan besar akan gagal pada masa hadapan, katanya.

Menurutnya, Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 di Seremban baru-baru ini mendapati 27.5 peratus usahawan pertanian di Malaysia hanya berpendidikan sekolah menengah.

Tambahnya, konvensyen juga mendapati hanya 1.7 peratus golongan itu terdiri daripada siswazah.

0 comments: