Rais bimbang bahasa Melayu semakin merosot

Oleh MOHD KAMIL YUSUFF

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim melahirkan kebimbangannya mengenai kemerosotan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan orang Melayu yang semakin ketara.

Menurutnya, berbanding bahasa ibunda kaum lain di negara ini, bahasa Melayu yang menjadi tunggak kepada kebudayaan Melayu mulai terpinggir penggunaannya dan jika dibiarkan boleh melunturkan budaya Melayu itu sendiri.

‘‘Kita harus sedar bahawa bahasa yang menjadi tunggak kepada kebudayaan sudah mulai luntur dan tulisan jawi yang menjadi skrip budaya dan skrip agama kita selama ini juga berada di tempat yang tepi sekali dan tidak berada di tahap perdana,’’ tegasnya.

Rais berkata, masyarakat Cina masih kental dengan budaya mereka kerana mereka begitu rapat dengan bahasa Mandarin, begitu juga masyarakat India yang tidak meminggirkan bahasa mereka.

‘‘Masyarakat Melayu keadaannya membimbangkan. Terus terang saya akui orang Melayu sudah hilang sebahagian besar intisari budaya mereka.

‘‘Selain yang mereka hadapi dalam bentuk amalan dan keperluan keagamaan menerusi Islam, sebahagian besar kegiatan amalan budaya Melayu sudah terhakis.

‘‘Yang tinggal hanya amalan agama Islam sahaja. Tetapi amalan agama bukanlah sebahagian budaya, ia tuntutan agama, justeru tidak seharusnya kita campur adukkan dengan kebudayaan,’’ ujarnya.

Rais berkata demikian dalam wawancara khas dengan akhbar jawi tunggal di negara ini, Utusan Melayu Mingguan dalam keluarannya semalam.

Beliau menegaskan, perkembangan ini membimbangkan kerana fasal 3.5 Perlembagaan UMNO menegaskan pentingnya kebudayaan dan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu tetapi trend kini menunjukkan penurunan graf pencapaian orang Melayu dalam bahasa sendiri.

Katanya, beberapa dasar yang diwujudkan secara mengejut meletakkan bahasa Melayu seolah-olah berada di tangga kambing dan tidak lagi di tahap perdana.

Menurutnya, walaupuan bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi melalui Akta Bahasa Kebangsaan dan peruntukan perlembagaan, tetapi amalannya sebagai budaya berkurangan.

‘‘Tanda-tandanya ialah sebahagian besar golongan terpelajar Melayu tidak lagi bercakap bahasa Melayu sebaik mungkin melainkan bercakap tidak tentu hala mencampuradukkan dengan bahasa Inggeris dalam sesuatu ayat.

‘‘Jarang sangat ditemui orang Melayu yang betul-betul bercakap Melayu, melainkan boleh dikatakan turut bercakap sebahagian Melayu,’’ katanya.

Rais menegaskan, hal ini penting kerana ia boleh dikaitkan dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia sendiri yang memberi takrif Melayu iaitu bertutur bahasa Melayu secara amalan dan mengamalkan adat istiadat Melayu di samping mengamalkan ajaran Islam.

Beliau berkata, antara tanda-tanda kemerosotan penggunaan bahasa Melayu ialah penjualan dan pembacaan akhbar Melayu yang menurun.

Menurutnya, edaran akhbar Utusan Malaysia tahun lepas ialah 215,000 naskhah sehari, sedangkan Sin Chew Jit Poh 346,895 naskhah, The Star (310,053 naskhah) dan China Press (227,270 naskhah).

Sehubungan itu, katanya, orang Melayu mesti bangkit semula menerusi apa cara sekalipun, terutama politik supaya dapat menyaingi keadaan ini agar budaya bangsa tidak mati.

0 comments: