Program angkasawan bakar semangat rakyat: PM

Oleh Azman Zakaria dan Mohd Azis Ngah


DETIK BERSEJARAH: Abdullah bersama Najib menyaksikan pelancaran Soyuz TMA-11 dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan di KLCC, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan mahu membakar semangat rakyat dan memberi keyakinan baru dan tinggi terhadap keupayaan mereka melalui usaha menghantar angkasawan Malaysia ke angkasa lepas.

Perdana Menteri berkata, pelbagai program yang dirancang bertujuan menggalakkan minat dalam sains dan teknologi di kalangan pelajar serta menekankan pentingnya bidang itu untuk masa depan.

"Angkasawan kita akan pergi ke sekolah, berinteraksi dengan pelajar serta menjawab pertanyaan dan memberi motivasi kepada mereka untuk capai kejayaan lebih besar.


"Inilah yang diharap kerajaan dengan menghantar rakyat Malaysia ke angkasa lepas, untuk menaikkan semangat rakyat Malaysia dan keyakinan baru percaya kepada keupayaan mereka,

"Detik bersejarah ini selepas 50 tahun merdeka harus menjadi pemangkin untuk kita memperbaharui tekad dan lebih daripada itu untuk meningkatkan lagi usaha membina dan memajukan Malaysia untuk setengah abad yang akan datang," katanya ketika berucap pada majlis siaran langsung pelancaran angkasawan negara yang pertama ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi.

Perdana Menteri turut berbuka puasa dan menunaikan sembahyang Maghrib, Isyak dan Tarawih yang diimamkan Exco Pemuda Umno, Datuk Pirdaus Ismail.


Turut hadir isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Kong Cho Ha; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; menteri Kabinet dan perwakilan asing adalah antara 1,800 tetamu yang hadir pada majlis itu.

Doktor bedah ortopedik, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35, angkasawan pertama dari Malaysia berlepas bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan, Yuri Malenchenko, dari tapak pelancaran Baikaonur Cosmodrome pada jam 7.21 malam tadi (9.21 malam waktu Malaysia). Mereka akan berada selama 10 hari di ISS.

Sambil mendoakan supaya Dr Sheikh Muszaphar berjaya melaksanakan misi negara itu, Perdana Menteri berkata, eksperimen lanjut yang dilakukan angkasawan Malaysia akan menjadi pemangkin kepada komuniti saintifik Malaysia untuk mengatasi pencapaian sekarang dan membuat penerokaan baru.

"Dengan penerokaan ke angkasa lepas, kita sebenarnya membuat pelaburan bagi anak-anak dan untuk masa depan kita.

"Perjalanan yang bermakna bagi semua kita ini melalui angkasawan kita akan membolehkan anak-anak berfikir bahawa impian boleh menjadi kenyataan," katanya

Dalam hubungan ini, katanya, adalah penting untuk generasi muda dilengkapi dengan pengetahuan tinggi serta azam untuk melakukan inovasi dan membuat penerokaan dalam bidang baru.

"Melangkah ke angkasa lepas adalah detik bermakna untuk kita dan mempelajari lagi sains supaya kita dapat membina masa depan yang lebih baik untuk seluruh rakyat," katanya

Beliau juga terharu dengan sambutan hangat yang diberikan 11,000 calon untuk menjadi angkasawan bagi melaksanakan misi negara itu.

Katanya, mereka perlu diberi penghargaan kerana berani menyahut cabaran dan yakin rakyat Malaysia boleh pergi ke angkasa lepas.

Kejayaan hari ini, katanya, bermula dari 2003 apabila idea menghantar angkasawan Malaysia ke angkasa lepas dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

0 comments: