Reaksi ibu bapa

BAIKONUR,KAZAKHTAN 10 Okt. - Kedua ibu bapa angkasawan pertama negara berasa terharu dan bertuah apabila anak mereka Dr. Sheikh Muszaphar Shukor menjadi angkasawan pertama negara.

Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Sukor berkata, mereka hanya mengetahui berita gembira itu pada awal pagi tadi kerana sewaktu pengumuman dibuat, mereka masih dalam perjalanan dari Moscow ke Baikonor.

‘‘Saya ucapkan terima kasih pada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, jurulatih dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang telah banyak membantu merealisasikan cita-cita anak saya.

‘‘Saya berharap agar anak saya dapat memikul tanggungjawab tersebut dengan sempurna,’’ katanya ketika ditemui di Hotel Sputnik, di sini hari ini.

Ibu Sheikh Muszaphar, Zuraidah Sheikh Ahmad pula berbangga kerana anaknya terpilih menjadi angkasawan dan setiap saat dia mendoakan anaknya selamat pergi dan pulang.

‘‘Kami akan tinggal di Moscow dan akan pulang bersama-sama dengan Sheikh Muszaphar ke Kuala Lumpur,’’ katanya.

Dalam pada itu Zuraidah kelihatan sayu dan terharu melihat anaknya menaiki bas dari jauh menuju ke tapak pelancaran roket Soyuz di Baikonor Cosmodrome.

0 comments: