KUALA LUMPUR 11 Okt. - Seramai 200,000 orang termasuk 5,000 orang kenamaan dijangka mengunjungi rumah terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Abullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Hari Raya pertama.
Waktu antara 11 pagi dan 12.30 tengah hari dikhususkan kepada tetamu kenamaan, manakala orang ramai boleh mengunjungi rumah terbuka itu bermula 12.30 tengah hari sehingga 5 petang, kata Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Senator Datuk Yaakob Mohammad.
Katanya, konsep rumah terbuka tahun ini bertemakan keceriaan suasana raya dari segi landskap seperti lampu warna-warni serta unsur tradisional seperti hiasan batik yang melambangkan suasana keharmonian rakyat Malaysia.
“Bagi memastikan tetamu menunggu dengan selesa ketika beratur mengambil makanan, kami menyediakan tempat duduk khas bagi warga tua atau wanita mengandung,” kata Yaakob.
Enam dewan digunakan bagi majlis rumah terbuka iaitu Dewan Merdeka, Dewan Tun Razak 3, Dewan Tun Razak 4, Dewan Tun Ismail, Dewan Dato Onn dan Ruang Legar Perdana. - Bernama
0 comments:
Post a Comment