Detik-detik sebelum berlepas

Daripada METRA SYAHRIL MOHAMED


Dr. Sheikh Muszaphar Shukor (kiri), Yuri Malenchenko dari Rusia (tengah) dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat (kanan) menunjukkan reaksi mereka sebelum roket Soyuz TMA-11 berlepas di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan.

BAIKONUR, Kazakhstan 10 Okt.- Kawalan ketat dilakukan pasukan tentera Rusia di tapak pelancaran roket Baikonur Cosmodrome menjelang pelancaran angkasawan negara ke angkasa lepas.

Empat jam sebelum pelepasan pada pukul 7.21 malam waktu tempatan (9.21 malam waktu Malaysia) ruang udara di sekitar tapak pelancaran itu ditutup daripada semua penerbangan.

Langkah itu adalah bagi memastikan tidak berlaku serangan pengganas dan pelanggaran dengan roket yang berlepas.

Dalam pada itu, bekalan elektrik dan komunikasi pula diputuskan sejam sebelum roket berlepas bagi memastikan tidak wujud gangguan ketika pelancaran.

Sepanjang pelancaran keadaan cuaca adalah baik.

Sejurus selepas pelancaran, semua delegasi Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos) bergegas ke Moscow yang terletak tiga jam penerbangan dari tapak pelancaran bagi menguruskan kawalan roket terbabit dari sana.

Ini berikutan tugas pemantauan dari pusat kawalan Baikonur Cosmodrome akan diambil alih pusat sama di Moscow sehingga angkasawan terbabit pulang ke bumi pada 21 Oktober.

Sementara itu, selepas berjaya melaksanakan proses ‘timbal balas’ dengan Rusia dalam penghantaran angkasawan pertama negara ke angkasa, Malaysia bakal melakukan perkara yang sama dengan negara lain.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, proses timbal balas tersebut berkemungkinan menyamai apa yang dilakukan dengan Rusia iaitu pembelian senjata atau pesawat pejuang.

Menurutnya, ia bakal menjurus kepada program misi ke angkasa lepas pada masa-masa akan datang yang dilihat mampu meletakkan nama negara sebaris dengan negara-negara yang telah sekian lama menguasai bidang angkasa.

‘‘Kita akan melihat kepada negara-negara yang mempunyai keupayaan dalam misi penghantaran angkasawan untuk program timbal balas seperti Amerika Syarikat atau China.

‘‘Proses timbal balas akan dipraktikkan kerana jika hendak menghantar sendiri misi ke angkasa, ia memerlukan pembiayaan besar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Dr. Sheikh Muszaphar Shukor akan berada di ISS selama sepuluh hari sebelum pulang ke bumi bersama angkasawan-angkasawan lain yang kini telah pun berada di ISS yang terletak di orbit kira-kira 333 kilometer dari muka bumi.

– Utusan

0 comments: